“Dia buat semua tu sebab sayang.”
Ayat macam ni mungkin biasa kita dengar bila seseorang cuba menjelaskan perangai pasangan yang kuat cemburu atau terlalu mengawal, kan?
Walaupun hati tengah bengkak dan kita mungkin masih dalam fasa denial, kita dengar je lah dulu.
Tapi cuba fikir semula.
Kalau setiap kali keluar pun perlu beritahu dekat mana, dengan siapa dan pukul berapa nak balik…
Kalau telefon selalu diperiksa tanpa izin…
Kalau duit sendiri pun pasangan nak kawal…
Atau sampai tak boleh jumpa kawan dan keluarga tanpa pengetahuan pasangan…
Itu sebenarnya masih sayang atau sebenarnya sudah menjadi kawalan? Hmm…
Bila “ambil berat” mula jadi mengawal?
Seperti yang kita tahu, dalam sesebuah hubungan, rasa risau atau cemburu itu mungkin perkara biasa. Kita faham, namanya pun pasangan kan? Valid je lah perasaan ni.
Tapi hubungan yang sihat tetap perlukan ruang, kepercayaan dan hormat terhadap batas peribadi masing-masing.

Yang jadi masalah bila rasa “ambil berat” itu makin lama makin mengawal sampai kita sendiri rasa takut nak buat keputusan atau terpaksa ubah perangai semata-mata nak elakkan pasangan marah.
Contohnya, pasangan selalu minta periksa telefon, nak tahu password media sosial, baca mesej peribadi atau persoalkan setiap panggilan yang masuk.
“Kenapa dia chat kau?”
“Kenapa kau online tapi tak reply aku?”
“Bagi password. Kalau tak ada apa-apa, kenapa nak takut?”
Mula-mula mungkin kita fikir, “Alah, dia cemburu sebab sayang.”
Tapi kalau benda yang sama berlaku berulang kali sampai kita rasa telefon sendiri pun dah tak ada privasi, itu patut buat kita berhenti sekejap dan fikir. Macam ada yang tak kena ni.
Setuju dengan Min?
Bukan telefon sahaja tau!
Anda kena tahu juga, tingkah laku mengawal bukan setakat bab telefon je. Ia boleh berlaku dalam banyak perkara yang kita buat setiap hari. Antaranya:
Kewangan – pasangan menentukan bagaimana duit perlu dibelanjakan, menghalang kita daripada mempunyai akses kepada duit sendiri atau membuatkan kita bergantung sepenuhnya kepadanya.

Contohnya, pasangan meminta kita berhenti kerja dengan alasan mahu kita menjaga anak atau menjadi suri rumah sepenuh masa, sehingga akhirnya kita tidak lagi mempunyai pendapatan atau kebebasan untuk mengurus kewangan sendiri.
Nampak macam keputusan biasa dalam rumah tangga, kan? Tapi persoalannya, kita sendiri setuju dengan keputusan itu atau kita sebenarnya dipaksa?
Pergerakan – perlu sentiasa berkongsi lokasi, minta izin setiap kali mahu keluar atau melaporkan setiap pergerakan kepada pasangan. Sampai nak keluar jumpa kawan atau pergi mana-mana pun rasa macam kena “check-in” dulu.
Pergaulan – tak dibenarkan berjumpa dengan kawan tertentu, dijauhkan daripada keluarga atau sering dipersoalkan apabila meluangkan masa dengan orang lain. Lama-lama, kita mungkin mula menjauhkan diri daripada orang sekeliling hanya untuk mengelakkan pasangan marah atau cemburu.

Penampilan – pasangan menentukan pakaian, penampilan atau bagaimana kita “patut” kelihatan. Nak pakai apa pun kena ikut selera dia, rambut macam mana pun dia tentukan, sampai cara kita membawa diri pun nak dikawal. Lama-lama, kita mungkin mula rasa macam hilang diri sendiri pulak.
Haish, kadang-kadang semua ini pun bermula dengan ayat yang pada awalnya buat kita rasa, “Bagusnya pasangan saya ni. Dia sangat prihatin.”
“Abang risau.”
“Sayang tak suka awak keluar dengan dia.”
“Abang cuma nak tahu awak dekat mana.”
Nampak macam sweet, kan?
Tapi kalau atas nama “sayang” dan “risau” itu akhirnya kita mula rasa hilang kebebasan untuk membuat keputusan tentang diri sendiri, itu dah bukan sekadar soal cemburu atau ambil berat.

Sebab dalam hubungan yang sihat, rasa sayang tak sepatutnya membuatkan kita rasa perlu meminta izin untuk setiap perkara dalam hidup sendiri.
Kadang-kadang kita sendiri tak sedar sedang dikawal
Ini yang ramai mungkin tak perasan.
Tingkah laku mengawal tak semestinya bermula dengan sesuatu yang ekstrem. Kadang-kadang ia bermula dengan perkara kecil yang pada awalnya kita anggap biasa.
Mungkin pada awalnya pasangan cuma selalu tanya:
“Dekat mana?”
“Dengan siapa?”
“Kenapa lambat reply?”
Lama-lama, soalan itu bertukar menjadi kewajipan untuk kongsi lokasi, hantar gambar sebagai bukti dan minta izin setiap kali nak keluar.

Begitu juga dengan telefon.
Pada mulanya mungkin pasangan sekadar tanya siapa yang mesej. Kemudian mula minta password, periksa WhatsApp dan media sosial, baca perbualan atau marah apabila telefon tak diberikan.
Kawalan juga boleh berlaku dalam soal kewangan dan pergaulan.
“Tak payah kerja, abang boleh tanggung.”
“Tak perlu berkawan dengan dia, abang tak suka.”
“Balik terus lepas kerja. Jangan pergi mana-mana.”
Kalau perkara-perkara ini berlaku berulang kali, kita mungkin mula mengubah cara hidup sendiri semata-mata untuk mengelakkan pasangan marah.
Takut nak keluar.
Takut nak berkawan.
Takut nak berkata tidak.
Takut nak buat keputusan sendiri.
Sampai satu tahap, nak buat benda biasa pun kita mula fikir:
“Kalau aku buat ni, nanti dia marah tak?”
Kalau soalan macam ni dah selalu bermain dalam kepala, mungkin ada sesuatu yang perlu kita perhatikan.
Sebab kadang-kadang, kita bukan lagi membuat keputusan berdasarkan apa yang kita mahu. Kita mula membuat keputusan berdasarkan bagaimana pasangan mungkin akan bertindak balas.
Jadi, macam mana nak kenal pasti red flag?
Cuba tanya diri sendiri.
Adakah aku bebas untuk berkata “tidak” tanpa rasa takut?
Adakah aku masih boleh jumpa kawan dan keluarga tanpa perlu takut pasangan marah?
Adakah aku boleh gunakan duit sendiri tanpa dikawal?
Adakah aku masih mempunyai ruang privasi, termasuk telefon dan media sosial?
Adakah aku rasa selamat untuk bersuara apabila mempunyai pendapat yang berbeza daripada pasangan?
Kalau semakin banyak jawapan yang keluar ialah “tidak”, jangan terus abaikan perasaan itu.

Cuba lihat semula apa yang sedang berlaku dalam hubungan tersebut.
Sebab kadang-kadang kita terlalu lama memujuk diri sendiri dengan ayat,
“Dia macam tu sebab dia sayang aku.”
Sedangkan dalam masa yang sama, kita sendiri dah mula hilang ruang untuk menjadi diri sendiri.
Yang penting, jangan anggap kawalan sebagai bukti cinta hanya kerana ia datang bersama ayat “sebab saya sayang awak”.
Tak perlu tunggu sampai keadaan jadi lebih serius
Kawalan, ugutan, penghinaan, pengasingan daripada keluarga dan rakan serta kawalan terhadap kewangan boleh memberi kesan besar kepada kehidupan seseorang.
Kita juga tak perlu tunggu sampai berlaku kecederaan fizikal baru nak menganggap sesuatu keadaan itu serius.
Kalau kita mula rasa kebebasan semakin hilang, sentiasa takut dengan reaksi pasangan atau terpaksa mengubah kehidupan sendiri untuk mengelakkan kemarahannya, itu bukan sesuatu yang patut dipendam seorang diri.
Paling penting, jangan salahkan diri sendiri!

Keganasan atau kawalan dalam hubungan bukan berlaku sebab mangsa “tak cukup baik”, “tak pandai jaga hati pasangan” atau “terlalu sensitif”.
Tak salah untuk mahukan hubungan yang membuatkan kita rasa selamat.
Tak salah untuk ada kawan.
Tak salah untuk ada privasi.
Tak salah untuk mengurus duit sendiri.
Tak salah untuk mempunyai pendapat sendiri.
Dan paling penting, setiap orang berhak untuk dihormati serta mempunyai ruang untuk membuat keputusan tentang kehidupan sendiri.
Kalau anda atau seseorang yang anda kenali sedang berdepan keganasan atau tingkah laku mengawal dalam rumah tangga, jangan diam dan jangan hadapi seorang diri.
Dapatkan sokongan daripada individu yang dipercayai atau saluran bantuan yang sesuai.
Kempen Hentikan Keganasan Rumah Tangga: Berani Bertindak #JanganDiam
Jika anda memerlukan bantuan atau ingin mendapatkan maklumat lanjut, hubungi:
Talian Kasih 15999, WhatsApp 019-261 5999 atau muat turun aplikasi Talian Kasih untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan dan bantuan yang berkaitan.

Berani bertindak. Jangan diam. Kenali tanda-tandanya sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Hubungan yang sihat dibina atas kepercayaan, bukan ketakutan.