fbpx

Nur Fazura: Saya Mahukan Yang Terbaik, Bukan Popular

Tahniah kami ucapkan kepada pelakon jelita Nur Fazura kerana telah berjaya memenangi kategori pelakon wanita terbaik menerusi filem Manisnya Cinta Di Cappadocia di majlis Festival Filem Malaysia Ke-27 (FFM27).

BACA: Nur Fazura Mahu Cuba Nasib Dalam Bisnes Pakaian Muslimah

Dia yang berasa sebak ketika memberikan ucapan kemenangan itu, mengatakan bahawa dia tidak menyangkakan sama sekali kemenangan berpihak kepadanya kerana berpendapat rakan-rakan artis yang tercalon bersamanya semua hebat-hebat belaka dan pernah memenangi gelaran keramat itu.

“Saya tak menyangkakan sama sekali kemenangan pada malam ini, akan tetapi Alhamdulillah saya bersyukur kerana berjaya memenangi kategori yang saya idamkan selama ini”

“Persaingan untuk merebut anugerah ini begitu kuat sekali apabila mereka yang tercalon adalah semua yang hebat-hebat belaka seperti Maya Karin, Sara Ali, Lisa Surihani dan ada di antara mereka pernah memenangi anugerah tersebut. Mungkin tahun ini rezeki berpihak kepada saya,” katanya penuh gembira.

Tambahnya, sebagai pelakon ini ialah merupakan anugerah yang paling berprestij sekali dan sentiasa diidamkan oleh semua pelakon walaupun hanya memenanginya sekali sahaja sepanjang berada dalam karier lakonan.

“Anugerah ini sentiasa dinanti-nantikan oleh semua pelakon dan Alhamdulillah selama saya berkecimpung dalam industri inilah anugerah yang terbaik pernah saya terima kerana ini bukanlah anugerah yang melibatkan populariti tetapi hasil kerja kita yang terbaik dan dinilai oleh juri”

“Ini menjadikan suntikan semangat untuk saya terus berusaha dalam bidang ini,” jelasnya yang tidak mahukan anugerah yang bersifat popular dan diundi oleh peminat tetapi mahukan anugerah yang menilai hasil usaha kerasnya selama ini.

Sementara itu, Fazura berkata anugerah ini merupakan pembakar semangatnya untuk terus menghasilkan karya-karya yang lebih baik di masa depan dan menjadi dorongan dan semangat untuk dirinya terus berjaya dalam karier di samping karya yang berkualiti. (rtky/h)