Sebut sahaja nama Datuk Rosyam Nor pasti ramai mengenali pelakon hebat ini sehingga digelar hero nombor satu Malaysia. Namun disebalik kejayaan sebagai pelakon, tersimpan satu kisah yang tidak diketahui ramai.
Dalam satu program temu bual baru-baru ini, Rosyam berkongsikan kisah pemergian arwah bapanya yang memberikan pengajaran paling besar buat dirinya. Rosyam mendedah penyesalan yang terbuku dihati apabila tidak dapat mengaji untuk jenazah arwah bapanya.
BACA: Walaupun 10 Minit Perjalanan, Rosyam Nor Tak Balik Kampung Beraya
“Saya tak salahkan ibu bapa kerana saya pun dibesarkan di Kuala Lumpur dan kami tidak ada sekolah agama pada ketika itu. Bila bapa saya meninggal bayangkan saya tidak boleh mengaji untuk jenazah arwah bapa saya sebab saya tak tahu mengaji.
“Saya tengok jenazah bapa saya terbujur kaku tapi saya tak boleh nak mengaji untuk jenazah arwah bapa saya,” katanya.
Tidak dapat menahan sebak ketika berkongsikan kisah tersebut, Rosyam akui terkilan namanya cukup besar di dalam industri hiburan tanah air tetapi tidak dapat mengaji untuk arwah bapanya.
“Yang saya tahu nak baca pada ketika itu hanyalah Al-Fatihah dan tiga Qul, itu sahaja dan saya merasakan betapa hinanya saya.
“Nama saya besar, saya diangkat menjadi hero nombor satu Malaysia, hero Malaya tapi bila bapa mati kau tak boleh sedekahkan,” katanya.
Namun, Rosyam berkata dia berdoa kepada Allah mahu belajar mengaji dan kemudian dipertemukan dengan seorang ustaz pada usia 45 tahun ketika penggambaran akhir filem KL Gangster 2.
“Dari situ terdetiklah di hati saya… Mak saya selalu pesan apa-apa pun doa. Saya minta pada Allah saya nak mengaji, tolonglah aku Ya Allah.
“Akhirnya Allah temukan saya ketika berumur 45 tahun dengan seorang ustaz, bukan di masjid tapi di lokasi KL Gangster,” kongsinya.