Pelakon Che Puan Juliana Evans berkata dia enggan melakonkan watak penyondol kerana baginya tiada cabaran serta tidak memberi impak positif kepada penonton.
Memetik HibGlam, Juliana berkata dia selektif dalam memilih karakter kerana mahu menyampaikan mesej bermanfaat kepada penonton.
BACA: Juliana Evans Selamat Bersalin Anak Kedua
“Saya memang tidak akan ambil watak penyondol. Saya tak mahu bawa karakter seperti itu. Kadang-kadang dapat peranan yang kurang sesuai, saya tolak.
“Sebelum ini memang ada tawaran watak begitu. Rasanya hampir semua drama sekarang mesti ada karakter penyondol. Tapi bagi saya, watak sebegitu terlalu mudah, tidak mencabar dan sangat tipikal. Sebagai pelakon, saya tak mahu dikenali hanya kerana watak seperti itu, karakter sebegitu merendahkan wanita,” katanya.
Sementara Juliana berkata dia sukakan cabaran dan sebagai seorang ibu dia mahu membawa watak yang mencerminkan kehebatan serta wanita yang mempertahankan hak mereka.
“Saya mahu watak yang menonjolkan wanita kuat, melindungi dan mempertahankan haknya. Itu lebih bermanfaat berbanding menjadi perampas suami orang.
“Saya suka cabaran. Sebagai contoh, saya mahu watak-watak berkaitan penyelamatan, biografi, atau perjuangan seseorang untuk bangkit. Cabaran sebegitu membuatkan saya lebih menghargai seni lakonan,” katanya.
SUMBER: HibGlam