Gagal hadir pada sebutan semula pertuduhan berpakaian wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini, usahawan kosmetik, Nur Sajat dikenakan waran tangkap.

Memetik laporan Harian Metro, waran tangkap itu dikeluarkan oleh Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@Shaii terhadap Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman.

BACA: Sajat Mengaku Tidak Bersalah Berpakaian Wanita

“Dia (Sajat) dimaklumkan tidak datang dan hakim mengeluarkan waran tangkap,” katanya.

Peguam syarie yang mewakili Sajat, Zuri Zabuddin Budiman berkata, anak guamnya tidak menghadiri sebutan semula yang sudah ditetapkan oleh mahkamah sebelum ini.

“Saya tunggu juga, tapi dia tak datang. Mahkamah tangguh sebutan semula kes pada 1 Jun depan,” katanya.

Pada 6 Januari lalu, Sajat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berpakaian seperti wanita.

Sajat didakwa melakukan perbuatan itu dalam majlis bacaan Yasin dan solat hajat, 23 Februari 2018 di premis kecantikannya, Nursajat Beauticion, Jalan Serai Wangi G16/G, Seksyen 16, Shah Alam.

Sajat kemudian dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM3,000 dan mahkamah menetapkan 23 Februari untuk sebutan semula kes.