Wah! Ini berita panas buat korang yang tengah ceburi bidang teknologi dan digital. GKK Consultants Sdn Bhd baru sahaja ikat perjanjian eksklusif dengan IIT Madras Pravartak Technologies Foundation (IITMPTF) dari India!
Nak tahu apa yang menariknya? Jom baca sampai habis.
Bagi korang yang tak tahu, IITMPTF ni adalah antara institusi teknikal paling berprestij di India. IITMPTF menawarkan pelbagai kursus lanjutan dalam sistem siber fizikal dan teknologi-teknologi moden yang lain.
Dr. Gajendra Balasingham, Pengarah Urusan GKK Malaysia, kata ini kali pertama ada syarikat dari Malaysia yang buat JV (joint venture) dengan hab inovasi dari India. Fuh, pencapaian luar biasa!
“Kerjasama ini bertujuan untuk merapatkan jurang kemahiran digital melalui program pendidikan teknologi yang diperakui – fokus utama dalam bidang AI, rekaan semikonduktor, tenaga hijau, aplikasi industri 5.0 dan pelbagai lagi teknologi digital masa depan,” katanya.
Dr. Gajendra turut berkongsi data dari Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan ekonomi digital menyumbang 23.5% kepada KDNK Malaysia pada tahun 2023 bersamaan dengan RM 427.7 billion!
Tahu tak? Tindakan terbaru Amerika Syarikat yang kenakan tarif tinggi sebenarnya beri kesan besar pada industri global. Tapi Malaysia boleh ambil peluang ni sebab syarikat luar mula ‘cari jalan’ untuk kurangkan kos, salah satu caranya adalah dengan ambil tenaga kerja dari Malaysia!
Jadi, timing GKK Malaysia dengan IITMPTF ni memang kena pada masanya. Tambah pula, kerjasama ni dah mula sejak awal tahun. Sekarang ni masa terbaik untuk korang yang nak ceburi bidang teknologi dan upgrade skill.
“Dengan tindakan terkini Amerika Syarikat mengenakan tarif, inisiatif ini juga memainkan peranan penting dalam membantu syarikat global mengurangkan kos, termasuk dengan mengambil lebih ramai pekerja dari Malaysia,” tambah beliau.
Menurutnya lagi, masa sekarang sangat sesuai untuk memperkasa komuniti yang kurang mendapat akses kepada peluang teknologi moden – dan kerjasama ini dilihat sebagai langkah proaktif ke arah itu.
Gempaknya lagi, program sulung kerjasama ni dah pun dilancarkan melibatkan 550 pelajar tahun akhir dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang bakal menerima pendedahan terus daripada IITMPTF serta rakan ekosistem GKK Malaysia.
Sebagai pemain utama dalam landskap pendidikan teknologi sumber manusia di Malaysia, GKK Malaysia percaya kerjasama ini selari dengan tumpuan digital negara, khususnya dalam bidang tadbir urus AI dan keutamaan strategik NAIO.
Matlamat akhirnya? Memastikan tenaga kerja Malaysia kekal kompetitif dalam era Revolusi Industri 5.0.