fbpx

Kanser Elyana Merebak Ke Rahim, Paru-Paru & Usus

Hujung tahun lalu, penyanyi Elyana memaklumkan kanser limfoma yang dihidapinya sejak 10 tahun lalu itu hampir memasuki tahap lima apabila turut menyerang dan merebak ke beberapa organ badannya.

Meskipun sedang bertarung melawan kanser, namun Elyana tidak pernah menunjukkan penderitaan yang dihadapinya. Malah, penyanyi berusia 34 tahun itu tidak pernah putus asa melawan penyakitnya.

BACA: Sambut Hari Lahir Ke-34, Elyana Mohon Doa Panjang Umur

“Secara jujur, saya tidak tahu daripada mana datangnya kekuatan ini. Saya percaya berkat doa semua orang, ia bagaikan meniupkan semangat untuk saya terus bernafas,” katanya.

Namun Elyana berkata sebagai manusia biasa dia juga pernah rasa kecewa dan pernah tertanya-tanya mengapa dirinya diuji sedemikian rupa danmempersoalkan  mengapa orang lain boleh sembuh namun tidak dirinya.

“Saya hanya manusia biasa, ada masanya momen kecewa dan tertekan. Saya akui sukar menerima kenyataan pada awal disahkan menghidap kanser. Saya sering tertanya-tanya kenapa ia terjadi kepada saya?

“Saya juga mempersoalkan, kenapa orang lain menghidap penyakit sama boleh sembuh, tetapi saya tidak? Namun, lama kelamaan saya mula menyedari, semakin lama Allah menguji, semakin saya beroleh ketenangan,” katanya.

Baru sahaja keluar hospital untuk menambah darah, Elyana berkata terpaksa menjalani rawatan radioterapi selepas mendapati ada ketumbuhan pada bahagian tengah dadanya.

“Sebenarnya, tujuan asal ke hospital tempoh hari hanyalah untuk menambah darah, tetapi apabila ujian imbasan PET dilakukan, doktor mendapati terdapat ketumbuhan pada bahagian tengah dada. Jadi, doktor terpaksa menjalankan rawatan radioterapi secepat mungkin.

“Kesan ketumbuhan ini, saya sukar bernafas, malah batuk tidak henti-henti hampir setahun. Apabila asyik batuk, saya mengalami kesukaran menelan hingga menjejaskan selera makan. Ia juga memberi kesan kepada berat badan.

“Selain dada, kanser turut merebak pada bahagian paru-paru, belakang rahim, sedikit pada usus dan beberapa bahagian badan lain. Dengan bantuan steroid, berat badan hanya 35 kilogram (kg) kini sudah naik kira-kira tujuh kg,” katanya.