fbpx

“Kalau Pemain Bola Boleh Sujud Syukur, Kenapa Saya Tak Boleh?”

Meskipun sebelum ini pernah dipandang rendah oleh rakan dan orang sekeliling, namun pelakon dan pengacara Zoey Rahman kini membuktikan dia mampu berjaya dalam perniagaan.

Baru-baru ini, Zoey ada berkongsi satu video saat gembira dan sebak apabila berjaya menaikkan dua papan tanda iklan produknya di lebuh raya. Malah, Zoey dilihat turut melakukan sujud syukur.

BACA: Zoey Rahman Hadiahkan Ibu Bapa Kondo Harga Setengah Juta

Bagaimanapun, ramai yang kurang senang dengan kapsyen dinyatakan apabila mengatakan susah jumpa papan iklan produk lokal di lokasi sama. Namun, Zoey menjelaskan dia merujuk kepada produk lokal baru yang berada di pasaran.

“Ramai yang sudah salah faham. Apa yang ingin saya sampaikan adalah kebanyakan billboard membabitkan produk lokal adalah jenama yang sudah lama dan dikenali ramai. Tapi, untuk jenama baharu macam saya, memang jarang sekali ada.

“Disebabkan itu saya berkongsi di media sosial. Saya mahu ia menjadi inspirasi kepada ahli perniagaan baharu atau mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang perniagaan. Supaya selepas ini ada banyak lagi produk lokal yang boleh berjaya,” katanya.

Mengenai sujud syukur yang dilakukannya dikatakan mengundang rasa kurang senang di kalangan netizen, Zoey mempertahankan bahawa tindakannya itu tidak salah.

“Kalau pemain bola boleh sujud syukur di padang, kenapa saya tidak boleh? Lagi pula, apa dibuat itu sebagai tanda saya mensyukuri nikmat dan rezeki pemberian Allah SWT.

“Saya percaya setiap ahli perniagaan bercita-cita untuk memiliki billboard sendiri. Malah, tentu sahaja mereka bangga jika ia dapat dilaksanakan. Begitu juga saya.

“Tidak ada istilah nak riak atau menunjuk. Nanti kalau saya tak kongsi, orang akan tanya pula kenapa tak buat macam orang lain. Apabila kongsi, kena kutuk pula. Apa pun, saya bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan,” katanya.