fbpx

Jep Sepahtu Nafi Diri Eksklusif, Tidak Kisah Pasal Harga

Pemilik nama Mohd Nadzri bin Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Jep Sepahtu menafikan bahawa dia seorang yang eksklusif dan hanya memilih watak tertentu untuk dibawakannya.

“Saya lebih sukakan kepuasan dan kalau saya suka saya akan buat dengan baik. Bab pilih itu ikut saya punya hati dan bukan pilih kerana tawaran dan harga. Sebab itu apabila ada gosip yang mengatakan saya ‘demand‘ saya pelik sebab saya tidak pernah meletak harga”

“Kalau saya tak nak buat, saya akan beritahu awal-awal. Saya pun susah mahu jelaskan diri saya macam mana,“ katanya yang ditemui selepas Anugerah Lawak Warna kelmarin.

Melihatkan kepada perkembangan rakan-rakannya yang lain seperti Shuib yang terus mengorak langkah dalam bidang lakonan dan tidak sepertinya yang agak jarang muncul dalam filem atau drama-drama tempatan tetapi masih lagi dapat bertahan sehingga kini dan buktinya dia telah berjaya merangkul gelaran Pelakon Komedi Lelaki Popular di malam kemuncak Anugerah Lawak Warna untuk tahun kedua berturut-turut.

BACA: Akui Undi Jihan Muse, Sharifah Sakinah Risau Kemenangan Jadi Isu

“Saya kalau nak buat sesuatu saya nak bagi kepuasan kepada mereka yang menonton. Jadi bila mereka puas saya lagi puas dan gembira dengan apa yang saya berikan. Walaupun satu, daripada saya buat banyak-banyak tapi sama sahaja. Saya bercakap ini untuk diri saya sahaja dan tiada kena-mengena dengan orang lain. Itu mungkin cara saya. Biarlah dalam setahun saya ‘shooting‘ sekali sahaja, tetapi orang boleh tengok dan bernilai,“ ujarnya.

Jep juga tidak menyangkakan kemenangannya pada malam Anugerah Lawak Warna tetapi lebih fokus kepada persembahannya pada malam itu, dan buat pertama kalinya dia beraksi menggunakan alat muzik gitar sambil menyanyi di atas pentas.

“Secara jujurnya target saya hanya mahu membuat persembahan pada malam ini sebab benda ini tidak pernah saya buat. Menang atau kalah bukan cerita. Tapi saya sangat berterima kasih kerana saya kekurangan program pun, peminat masih lagi mengundi dan mereka masih menilai”

“Saya hanya buat satu sahaja program iaitu Cerita Raya, dan selepas saya menang ABP itu sahaja yang saya buat tetapi mereka menilai kerana satu jadi saya rasa maknanya bukanlah bila kita keluar-keluar orang puas. Baik kita keluar tak banyak tapi orang puas”

“Tapi itu untuk sayalah kerana saya tidak mampu untuk melakukan banyak kerja dalam satu satu masa,“ tambahnya lagi. (rtky/hfz)