Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob berkongsikan keadaan terkini ibunya, Datin Paduka Umi Kalsom yang menghidap dementia.

Menerusi perkongsian di TikTok, Fazley berkata ingatan jangka pendek ibunya hanya bertahan sekitar 30 saat dan hanya mampu ingat memori lama.

BACA: DSV Hampir Pengsan, Sifatkan Lamaran Fazley Umpama Dari Syurga

“Buat yang mengenali ibu saya, Datin Paduka Umi Kalsom, beginilah keadaan ibu sekarang. Dia ada dementia atau orang melayu kita panggil nyanyuk. Hanya memori-memori lama ibu masih mampu ingat.

“Bermula dengan lupa di mana dia letakkan towel, seminggu lalu sehinggalah sekarang tinggal 30 saat sahaja memori jangka pendeknya,” katanya.

Sementara itu, Fazley berkata dia sedih melihat keadaan ibunya itu namun wanita yang melahirkannya itu tidak pernah lupa meluahkan kata-kata sayang terhadapnya.

“Perkara yang mudah seperti membuka televisyen pun menjadi sesuatu yang asing buat ibu, walaupun baru di ajar 30 saat yang lalu. Tapi ayat yang tak pernah dia lupa untuk lafazkan “Ibu saaaayaang sangat kat Paji tau!” Sambil dia peluk saya dengan titisan air mata.

“Seolah-olah tahu pengakhirannya nanti, saya pun dia akan lupa siapa. Setiap hari ibu lafazkan ayat yang sama pada saya, supaya saya kenang kata-kata keramat itu sampai bila-bila.

“Sedih.. terlalu sedih. Hinggakan air mata saya tak berhenti mengalir sambil saya menulis caption ini. ‘Paji pun sayang ibu sangat tau.’ Balas saya setiap kali saya memeluk ibu,” tulisnya.

×