Usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida menyifatkan lamaran bakal suaminya, Datuk Fazley Yaakob umpama lamaran dari syurga.
Memetik BH Online, Vida berkata dia tidak menyangka Fazley merancang kejutan berkenaan dan hampir pengsan kerana terharu apabila penyanyi itu menghulurkan cincin.
BACA: “Dida Terlalu Sempurna” – Cik B Cuba Cari Salah Fazley Yaakob Tapi Tak Jumpa
Menurut Vida lagi, dia tidak akan lupakan kejutan lamaran berkenaan malah dia sendiri tidak dapat menghidu rancangan bakal suaminya itu.
“Sebenarnya, sudah dua hari saya tidak lalu makan kerana tidak berjumpa Dida. Saya sudah dua hari berada di Kuala Lumpur, tetapi dia langsung tidak datang berjumpa saya dengan alasan sibuk.
“Rupanya, ada kejutan untuk saya. Subhanallah, saya sangat terharu dan hampir pengsan. Lamaran ini sangat istimewa kerana membuatkan saya berasa begitu dihargai apabila ada insan yang menghargai saya melalui cara sebegini.
“Ini sesuatu yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Begitu juga dengan anak-anak. Ini umpama lamaran dari syurga. Sejak mula berkenalan, saya sentiasa berdoa dan akhirnya terjadilah permulaan kepada pintu kebahagiaan,” katanya.
Dalam pada itu, Fazley berkata dengan lamaran berkenaan dapat menjawab segala persoalan apabila ada yang beranggapan hubungan mereka hanya sekadar konten.
“Jadi, ini jawapan kepada semua persoalan. Saya masih berpegang kepada adat, bermakna kami akan melalui proses merisik, bertunang dan bernikah. Langkah pertama adalah melamar dengan memberikan cincin tanda, mengikut adat tetapi dalam bentuk generasi Z.
“Kami belum bertunang atau merisik. Masih ada beberapa majlis yang perlu dilalui hinggalah ke persandingan. Doakan semuanya berjalan lancar, insya-Allah,” katanya.
Sumber: BH Online