Pelakon Eyra Hazali berkata dia terpaksa membawa ketiga-tiga anak lelakinya ketika menggunakan tandas awam apatah lagi situasi perkahwinan jarak jauh (PJJ) bersama suami.

Menerusi perkongsian di Threads, Eyra memahami ada yang kurang selesa melihat kanak-kanak lelaki memasuki tandas awam wanita.

BACA: Eyra Hazali Hamil Anak Ketiga, Tiada Rezeki Dapat Kembar

Bagaimanapun, Eyra berkata dia mengajar anak-anaknya untuk menutup mata jika terpaksa membawa anak-anak masuk ke tandas awam wanita.

“Saya ada tiga anak lelaki dan PJJ dengan suami. Nak tak nak kalau keluar pergi pusat beli-belah atau mana-mana tanpa suami, memang kena bawa mereka ke tandas sekali.

“Eyra dah ajar, masuk tandas wanita, mereka kena tutup mata atau menghadap peluk saya sambil tutup mata sebab saya tahu ada yang tak selesa walaupun mereka masih kecil,” katanya.

Sementara itu, Eyra berkata dia lebih memilih untuk ke pusat beli belah yang ada kemudahan tandas buat kanak-kanak serta memahami situasi orang lain.

“Selalunya saya akan pergi ke pusat beli-belah yang ada tandas kanak-kanak. Kadang-kadang kita kena faham sisi orang lain juga ya para ibu,” katanya.

Eyra dan Haziq mendirikan rumah tangga pada 1 November 2019. Pasangan itu dikurniakan tiga orang cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Hayder Qalish, Muhammad Hedra Haqimie, dan Muhammad Hud Ezqandar.

×