fbpx

Ernie Zakri, Syamel Selamat Bertunang

Spekulasi hubungan cinta pasangan duet popular Ernie Zakri dan Syamel akhirnya terjawab apabila kedua-dua mereka mengikat tali pertunangan dalam satu majlis ringkas petang semalam.

Majlis yang diadakan di kediaman Ernie itu tetap berlangsung meriah meskipun hanya dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

BACA: Ernie Zakri, Syamel Kahwin Tahun Depan

Kini bergelar tunangan orang, Syamel meluahkan rasa syukur majlis berjalan dengan lancar seperti yang dirancang. Namun, akui bimbang apabila memikirkan banyak dugaan dalam alam pertunangan.

“Alhamdulillah, saya gembira impian mahu menyunting Ernie sebagai bakal isteri akhirnya dimakbulkan. Saya gementar juga apabila mengenangkan alam pertunangan ini banyak dugaan seperti yang sering diperkatakan. Saya akui perkara inilah yang amat ditakuti.

“Namun, insya-Allah, saya dan Ernie akan menjaga diri dan batas pergaulan. Kami takkan berjumpa selalu. Apa yang diharapkan, doa peminat bukan sahaja hubungan ini sampai ke jenjang pelamin, malah kekal hingga ke akhir hayat,” katanya kepada BH Online.

Diminta mengulas mengenai tarikh pernikahan, Syamel berkata perkara itu masih belum dibincangkan lagi. Bagaimanapun, Syamel berkata dia tidak mahu mengikat tali pertunangan dalam tempoh yang lama.

“Untuk majlis pertunangan hari ini, tiada sebarang perbincangan menetapkan tarikh perkahwinan. Ia akan dilakukan kemudian. Bagaimanapun, saya tidak mahu bertunang lama-lama,” katanya.

Dalm majlis tersebut pihak Syamel menyerahkan tiga dulang hantaran, berbalas lima dulang.