fbpx

Ernie Zakri, Syamel Dah Ada Lagu Kahwin Sendiri

Mengejutkan ramai pihak apabila selamat mengikat tali pertunangan pada Sabtu lalu, Ernie Zakri mendedahkan bahawa dia dan tunangnya, Syamel bakal mengabdikan kisah percintaan mereka dalam sebuah lagu istimewa.

Menurut Ernie, lagu cinta mereka itu juga dirancang untuk diterbitkan pada hari majlis perkahwinan mereka nanti. Bagaimanapun lagu tersebut masih dalam perancangan lagi.

BACA: Ernie Zakri, Syamel Selamat Bertunang

“Memang ada juga perancangan daripada pihak Syamel sendiri. Kalau nak terbitkan lagu itu mungkin sewaktu hari perkahwinan.

“Tengoklah macam mana, kalau sempat kami buat. Lagunya sudah ada, cuma, belum betul-betul duduk berbincang lagi. Kalau dapat terbitkan waktu hari perkahwinan nanti pun seronok juga,” katanya kepada Astro Gempak.

Ernie berkata lagu duet itu dihasilkan oleh mereka berdua bersama-sama. Katany lagi, lagu tersebut akan menceritakan kisah percintaan yang disimpan rapi sebelum ini.

“Kalau dulu lagu sedih-sedih, tapi lagu itu nanti lebih kepada cerita yang sweet sahajalah,” katanya.

Sebelum ini, Ernie dan Syamel mengikat tali pertunangan dalam satu majlis yang diadakan secara tertutup pada 15 Ogos lalu. Pasangan ini merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan awal tahun depan.