fbpx

Diugut Ceroboh Privasi, Reen Rahim Buat Laporan Polis

Pelakon Reen Rahim atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim 29, memberitahu pihak media bahawa dia membuat satu laporan polis terhadap seorang wanita yang didakwa telah mengugut dan menceroboh hak privasinya dengan niat menjatuh serta memalukan dirinya.

BACA: Reen Rahim Rapat Dengan Seseorang?

Ujar aktres yang baru tampil dengan filem Soulmate Hingga Jannah ini, wanita tersebut bertindak demikian selepas dia meminta agar diberikan sedikit ruang privasi. Jelas Reen lagi, dia mengenali wanita berkenaan kira-kira lima tahun lepas dan hubungan mereka menjadi rapat sehinggakan keakraban mereka dicemburui kakak kandung Reen sendiri.

“Dia menjadi antara orang penting dalam fan club saya dan disebabkan kami sangat rapat, saya memberi kebenaran dia untuk menyelia laman sosial saya dan dia juga tahu segala password dan username laman sosial saya”

“Tapi saya mula rasa tak selesa bila dia mula masuk campur urusan peribadi saya termasuk mengawal dengan siapa saya boleh berkawan. Jadi saya berterus terang kepadanya tentang apa yang saya rasa dan tidak sangka dia mengambil tindakan sebegini,” katanya yang ditemui di Majlis Tayangan Filem Soulmate Hingga Jannah.

Reen berkata, dia menerima ugutan sejak tiga bulan yang lalu menyebabkan pelakon itu berasa terganggu. Tambahnya lagi, ugutan tersebut boleh menjatuhkan imej dan memalukannya. Antara ugutan yang diterimanya adalah untuk menyebarkan gambar serta video. Bagaimanapun, Reen tidak pasti apakah video dan gambar yang dimaksudkan.

“Dia ada post di Instagramnya, walau tidak meletak nama saya, saya tahu ia ditujukan pada saya. Apa yang membuatkan saya terganggu adalah postnya yang mahu menyebarkan gambar serta video yang diambil secara rahsia dalam telefon bimbit saya”

“Saya pasti setiap orang mempunyai perangai masing-masing, lagipun telefon bimbit adalah ruang peribadi. Post itulah yang membuatkan saya rasa terganggu. Sepanjang karier saya sangat menjaga nama saya agar tidak memalukan keluarga. Saya elak untuk bersosial kerana tidak mahu mencari kontroversi”

“Tapi bila jadi sebegini saya rasa sangat kecewa. Kalau ada perbuatan saya yang menyinggung perasaannya saya minta maaf. Kalau ada hutang yang saya terlepas pandang, maklumkan pada pengurusan dan saya boleh bayar,” katanya kepada Rotikaya. (rtky/h)