fbpx

Dituduh Salah Guna Kuasa, Eizlan Yusof Nak Saman Hans Isaac

Pelakon yang juga Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Seri Eizlan Yusof bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac.

Ia berikutan tindakan Hans yang membuat tuduhan tidak berasas penyalahgunaan kuasa membabitkan syarikat produksi Exellent Pictures Sdn Bhd sehingga mendapat geran Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Finas.

BACA: Eizlan Yusof Gembira Isteri Sudah Tahu Mengerjakan Solat Dengan Baik

“Saya dapat tahu perkara ini apabila seorang ahli PFM menghantar tangkap layar perbualan di aplikasi WhatsApp. Apabila saya baca memang terkejut sebab dia mengaitkan nama saya. Perkara ini menjadi bualan dalam kalangan mereka.

“Semalam, terdapat ahli PFM sudah menghentam saya secara peribadi dan mahu membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta mendesak saya meletakkan jawatan.

“Bagi saya, ini isu besar kerana mereka berpendapat saya sudah salah guna kuasa sehingga dapat dana, sedangkan saya tak ada kena mengena dengan syarikat itu sama ada selaku pengarah atau pemegang saham. Apabila ditekan ahli PFM, bagi saya ia sudah melampau,” katanya.

Dalam pada itu, Eizlan berkata dia sudah melantik peguam daripada Tetuan Shaharudinali Azfarazmi & Co untuk memulakan proses perundangan. Ujarnya, tuduhan tersebut sekaligus mencemarkan imej dan reputasinya.

“Saya sentiasa berpegang teguh kepada prinsip integriti. Saya menzahirkan kekecewaan atas tuduhan melulu dan tidak berasas yang dilontarkan sehingga mencemarkan nama, imej dan reputasi saya.

“Dakwaan ini memberi kesan secara langsung kepada karier dan perniagaan saya. Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana imej dan reputasi saya sudah terkesan akibat dusta ini,” katanya.