fbpx

“Bukan Netizen Sediakan Sarapan Untuk Saya Bila Bangun Pagi”

Tak sampai sebulan mendirikan rumah tangga pada 26 Julai lalu, sudah ada cerita tak sedap didengar apabila timbul dakwaan pelakon Miera Leyana yang dikatakan hidup bermadu.

Tidak mengiyakan mahupun menafikan, Miera mahu netizen terus berteka teki mengenai status perkahwinannya. Miera turut hairan dengan tanggapan netizen terhadap poligami sedangkan ianya tidak menyalahi undang-undang.

BACA: “Kalau Isteri Kedua Atau Ketiga Pun, Bukan Saya Buat Salah”

Dalam pada itu, suaminya, Rosland Othman berpegang teguh pada prinsip dirinya untuk tidak berkongsi perihal peribadi kepada orang ramai. Ujarnya, hal keluarga tidak perlu digembar-gemburkan.

“Saya seorang yang menjaga privasi, apabila berkahwin saya jadi segan sebab Miera selebriti. Tapi saya masih kekalkan segala kehidupan saya secara peribadi.

“Cuma selagi mana boleh saya lindungi keluarga, saya akan buat. Untuk majlis resepsi ini, keluarga pun gembira dan itu yang penting bagi saya.

“Saya tak boleh menghalang netizen untuk terus bercakap sebab saya tahu kalau kita buat benda baik pun orang tetap kutuk. Jadi, kita teruskan hidup dengan moral kita,” katanya kepada Gempak.

Pasrah dengan dakwaan dan spekulasi yang diperkatakan netizen, bagaimanapun Roslan malas untuk peduli tentang tuduhan tersebut kerana ia tidak menjejaskan dirinya langsung.

“Bukan mereka yang sediakan breakfast untuk saya bila bangun pagi. Bukan saya yang suap mereka makan tengah hari.

“Jadi, saya tak perlukan publisiti, saya hormati Miera dalam bidang ini dan kalau netizen nak kata apa-apapun, ia tak menjejaskan saya pun.

“Saya berkahwin dengan Miera bukan nak tumpang populariti dia pun. Saya melihatnya sebagai seorang wanita yang baik malah hubungan dengan keluarganya pun akrab,” tambahnya.