fbpx

Beli Beg Ribuan Ringgit Untuk Kucing, Tiada Niat Menunjuk

Baru-baru ini, sebuah video yang dikongsikan oleh Ifa Raziah menjadi perhatian ramai dimana pelakon dan penyanyi itu membeli beg ‘dog carrier 50’ jenama Louis Vuitton berharga ribuan ringgit untuk tiga ekor kucing peliharaannya.

Ifa memberitahu dia membeli beg tersebut untuk memudahkannya membawa ketiga-tiga kucing tersebut berjalan ke mana-mana sahaja dan tiada niat untuk menunjuk mahupun riak. Katanya lagi, beg tersebut adalah rezeki untuk kucingnya itu.

BACA: “Peluk Ifa Raziah Sebab Sayang, Anggap Macam Kakak”

“Kucing ini kepunyaan arwah bapa saudara yang meninggal dunia sebulan lalu. Disebabkan tak ada siapa nak jaga, saya ambil dan bawa balik ke Kuala Lumpur. Kalau biar, kesian pula dan memang tak sampai hati. Walaupun saya tak pernah pelihara kucing sebelum ini, tapi saya cuba juga.

“Kebetulan sempena hari jadi mak mentua baru-baru ini, saya ke butik berjenama itu untuk membelikannya hadiah. Saya ternampak pula ‘dog carrier’ yang besar dan ia boleh memuatkan tiga kucing. Nak dijadikan cerita, ia hadiah dan rezeki untuk kucing ini.

“Apabila ada beg ini, mudah untuk saya membawa ketiga-tiga kucing ini. Tak ada niat pun nak menunjuk atau riak,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu Ifa berkata, sejak memelihara kucing tersebut rezekinya semakin mencurah-curah dan disebabkan itu dia tidak kedekut untuk berbelanja demi kucingnya. Ujar Ifa lagi, dia sudah menganggap kucing-kucing itu seperti anaknya sendiri.

“Orang kata kucing pembawa rezeki. Alhamdulillah, saya dapat rasa itu. Disebabkan itu, saya tak nak kedekut dengan kucing. Saya mahu berikan yang terbaik dari segi makanan dan penjagaan.

“Setiap minggu saya akan bawa ke spa kucing untuk buat rawatan. Malah, selepas ini suami nak belikan ‘baby stroller’ pula.

“Malah, saya anggap kucing ini seperti anak. Ketiga-tiganya menjadi kesayangan kami sekeluarga. Sekarang, kalau keluar mesti nak balik rumah cepat sebab nak bermain dengan kucing,” ujarnya.