fbpx

Babak Cium Fattah Amin, Janna Nick Cetus Kontroversi

Biarpun masih belum ditayangkan, drama adaptasi Coffee Prince lakonan Fattah Amin dan Janna Nick telah mencetuskan kontroversi apabila salah satu adegan yang kelihatan mereka seakan bercium tersebar. Menerusi Insta Story, Fattah dan Janna dilihat membuat aksi seperti bercium bagi meniru adegan di dalam drama Korea terbabit.

BACA: Akhirnya Fattah Amin Sertai Kelas Lakonan, Nyanyian

Walaupun tiada sebarang sentuhan terjadi namun ianya telah mencetuskan kemarahan orang ramai yang merasakan adegan seperti tidak perlu dibuat biarpun drama tersebut sebuah adaptasi. Bukan itu sahaja malah nama pengarah tersohor, Micheal Ang turut diselar kerana menyelitkan adegan berahi di dalam drama tersebut.

Bagi peminat drama Korea, Coffee Prince, anda pasti tahu adegan tersebut dimainkan ketika peneraju watak utama Gong Yoo dan Yoon Eun-hye sedang berpura-pura bermain cinta (yang pada ketika itu dianggap hubungan sejenis) kerana menyangka wanita itu adalah lelaki bagi mengelak untuk keluar dengan gadis-gadis pilihan neneknya.

Pun begitu, ada juga yang tetap mempertahankan tindakan Fattah dan Janna berbuat demikian, yang dikatakan hanyalah ‘camera trick’ untuk menghidupkan adegan bercium itu walaupun mereka sebenarnya tidak bersentuhan. Malah ada juga yang memuji aktor kacak itu yang berani mencabar diri membuat aksi itu walaupun akan dikecam.

Pastinya kalau berfikir dari sudut perfileman, adegan seperti ini harus dibuat demi menghidupkan jalan cerita sesebuah karya yang dihasilkan, apalagi jika ianya adaptasi. Pasti ramai yang mengharapkan kesan yang sama seperti drama asal. Namun apapun rasanya mungkin pengarah boleh hasilkan trick yang lain agar ianya tidak nampak keterlaluan. (rtky/w)