fbpx

Ayu Damit Tak Kecil Hati Digelar ‘Scooby Doo’

Ditegur nyaris ‘Scooby-Doo’ oleh juri tetap Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7), Datuk Ramli MS pada konsert kedua minggu lalu, penyanyi Ayu Damit berkata dia menerima teguran secara terbuka dan mengakui kesilapannya.

Gara-gara tidak sampai melontar nada tinggi ketika menyanyikan lagu Ke Hujung Dunia, dendangan asal Siti Sarah, Ayu akui dia berlaku kesilapan di bahagian tersebut dan akan lebih berhati-hati selepas ini.

BACA: Ayu Damit Mengaku Pernah Lupa Diri Lepas Menang One In A Million

“Saya ada tergelincir di bahagian nada tinggi ketika menyanyikan lagu itu. Jadi, juri tegur saya supaya dapat memperbaikinya untuk persembahan di minggu akan datang.

“Saya terima teguran itu dan akan lebih berhati hati dalam pengawalan nada tinggi lagu untuk persembahan seterusnya nanti. Saya akan perbaiki kelemahan itu,” katanya.

Mengenai jolokan #scoobydoo yang diberikan kepadanya, Ayu berkata dia tidak berkecil hati dengan apa yang diperkatakna orang ramai kerana apa yang lebih penting adalah untuk fokus dalam program tersebut.

“Saya tak kisah sangat pun apa orang nak cakap. Bagi saya, lama-lama nanti akan senyap jugak. Buat masa sekarang, biarlah nak cakap apa pun termasuk #scoobydoo.

“Apa yang lebih mencabar untuk saya adalah persaingan dengan penyanyi lain yang kesemuanya ada kelebihan dan kekuatan masing-masing. Saya kena lebih fokus pada cabaran akan dihadapi nanti,” katanya.