fbpx

Ayu Damit Mengaku Pernah Lupa Diri Lepas Menang One In A Million

Pernah bergelar juara program realiti One In A Million sekitar 12tahun lalu, penyanyi dan bintang Gegar Vaganza musim ke-7 iaitu Ayu Damit sebak apabila mengenang kembali kisah lalunya.

Ayu mengakui dia pernah tersilap langkah dan lupa diri sehingga ianya meninggalkan kesan terhadap karier nyanyiannya. Ujarnya lagi, ketika itu tiada siapa yang membimbing namun bersyukur dirinya diuji ketika itu.

BACA: Giliran Ayu Damit Bertudung Penuh, Berhijrah

“Saya mengaku pernah mengalami kejutan budaya selepas muncul juara dalam program realiti tersebut. Ketika itu saya terlalu mengikut darah muda.

“Tambah-tambah lagi kita ni ‘zero’ dan tidak tahu apa-apa tentang industri. Tidak ada yang membimbing dengan betul. Dan…ya itulah yang berlaku. Namun saya bersyukur kerana jika saya tidak diuji ketika itu mungkin sehingga kini saya masih tidak belajar,” katanya.

Katanya dalam tempoh lapan tahun selepas mengalami ‘zaman kejatuhan’, bukan mudah untuk dia kembali bangkit. Namun, Ayu berkata dia percaya bahawa apa yang terjadi adalah pengalaman bermakna untuk dirinya.

“Sepanjang fasa itu, saya lalui saat sukar dan tidak mudah untuk melaluinya. Namun saya percaya apa yang terjadi adalah proses pembelajaran dan pengalaman yang cukup bermakna sebenarnya.

“Saya berterima kasih kepada suami kerana dialah insan yang selalu menyokong dan memberi semangat untuk saya bangkit dari kisah silam.

“Demi anak-anak, suami minta saya kuat dan pandang ke hadapan serta jangan toleh ke belakang lagi, sejak itu lahirlah ‘Ayu Damit’ yang baru iaitu saya sekarang ini,” katanya.