fbpx

Amelina Akui Hatinya Kini Dimiliki Seorang Ahli Perniagaan

Sudah empat tahun bergelar ibu tunggal, Ratu Dangdut Malaysia, Amelina mengakui hatinya sudah dimiliki oleh seorang lelaki yang merupakan ahli perniagaan.

Menurut Amelina atau nama sebenarnya  Norazlina Amir Sharipuddin, dia dan ahli perniagaan itu masih dalam fasa mengenali satu sama lain dan menyerahkan urusan jodoh kepada Allah.

BACA: Amelina Dedah Ditinggal Sehelai Sepinggang Selepas Cerai

“Buat masa sekarang, kami masih saling mengenali antara satu sama lain. Kata orang, dalam fasa ‘sweet-sweet’. Tapi, semuanya saya serahkan kepada jodoh.

“Tak adalah nak kahwin tahun ini. Insya-Allah, macam saya cakap biarlah semuanya atas ketentuan jodoh,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, ibu kepada enam cahaya mata itu berkata kesemua anaknya menerima baik kehadiran lelaki itu. Malah, lelaki itu juga memahami kerjayanya sebagai seorang selebriti.

“Anak-anak pun selesa dengan dia. Begitu juga dengan dia yang selesa dengan kerjaya saya sebagai artis.

“Apa yang penting, dia peramah, tidak sombong dan dapat bergaul dengan orang sekeliling saya. Itu membuatkan saya rasa senang dengan dirinya,” katanya.

Amelina pernah berkahwin dengan usahawan bernama Reduan pada 20 Mei 1999 namun bercerai pada 2016. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan enam cahaya mata iaitu Puteri ‘Nur Athirah, 19, Putera Al’ Affiq, 18, Putera Al’ Asyraff, 17; Puteri Nur’ Asyurah, 15, Putera Al’ Arffa, 13, dan Putera Al’ Amzar, 8 tahun.