fbpx

Alya Iman Nafi Kikis Wang RM2.3 Juta Daripada Bekas Kekasih

Belum reda lagi kontroversi terpalit dirinya digelar perosak rumah tangga seorang ahli perniagaan, timbul pula dakwaan pelakon baru Alya Iman dikatakan mengikis wang berjumlah RM2.3 juta daripada bekas teman lelakinya.

Menerusi paparan mesej yang tular, lelaki itu mendakwa menjalinkan hubungan dengan anak pelakon lagenda, Allahyarham Azmil Mustapha awal tahun ini tetapi memutuskan hubungan selepas mengetahui perangai sebenar gadis itu.

BACA: Bekas Kekasih Alya Iman Dedah Kena Kikis Sampai RM2.3 Juta?

Bagaimanapun, Alya menafikan dakwaan menerima wang jutaan ringgit daripada mana-mana pihak. Malah, dia tidak mengenali lelaki yang sanggup menabur jutaan ringgit sepanjang menjalin hubugan cinta dengannya.

“Saya sedar melakukan kesilapan dan mahu memperbetulkan keadaan. Bagaimanapun, saya tak pernah menerima wang berjumlah RM2.3 juta seperti didakwa. Saya tak mengenali lelaki yang mendakwa bekas teman lelaki.

“Saya risau dakwaan yang tidak masuk akal ini boleh menjejaskan kehidupan harian, apatah lagi saya baru sahaja bekerja di bahagian komunikasi korporat syarikat swasta selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya kepada BH Online.

Tampil menjelaskan pernah bertunang dengan lelaki berstatus suami orang,  Alya berkata dia mengenali lelaki itu pada Jun 2019 ketika bertugas sebagai ejen produk kesihatan. Lelaki itu kemudian melamarnya dan mengikat tali pertunangan pada 27 Februari lalu.

“Dia mendakwa isterinya tahu mengenai kehadiran saya dan menerima hubungan kami seadanya. Jadi, saya tidak malu pergi ke pejabat bekas tunang mahupun keluar bersama.

“Saya hanya mengetahui kewujudan saya tidak diketahui apabila isterinya menghubungi sewaktu saya ada bersamanya, Mac lalu. Bagaimanapun, bekas tunang menyatakan sedang bermesyuarat.

“Selepas insiden itu, saya mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan cara baik, namun kami masih berkomunikasi. Bagaimanapun, saya sudah memulangkan semua hadiah pemberiannya menerusi pengawal peribadi,” katanya.

Terdahulu, nama Alya mendapat perhatian umum apabila seorang wanita yang juga isteri kepada bekas kekasihnya membongkar hubungan sulit suaminya menerusi Instagram.