fbpx

Pengacara program Tanyalah Ustaz, Da’i Annas berkata wanita yang bercerai hidup atau mati tidak boleh keluar bekerja selagi masih belum tamat tempoh idah ditetapkan seperti digariskan agama.

Memetik BH Online, bagaimanapun Da’i Anas berkata dalam soal idah ada kelonggaran diberikan untuk wanita keluar rumah contohnya atas urusan bekerja.

BACA: “Saya Cerai Hidup, Bukan Balu Cerai Mati”

“Jika seorang ibu perlu menguruskan keluarga tanpa bantuan daripada orang sekeliling atau waris anak-anaknya, dia diberikan kebenaran untuk keluar dengan kadar tertentu. Cuma bagi kes penyanyi Adira, saya tak pasti sejauh mana kepentingannya keluar.

“Kalau bekerja mencari rezeki, kita kena tengok juga kadar keperluan untuk keluarga, tapi saya rasa tidaklah tiada duit langsung untuk makan atau minum.

“Mungkin ada lagi duit untuk meneruskan kelangsungan hidup. Jadi, saya rasa berbalik pada hukum, Adira tak dibenarkan,” katanya.

Kata Da’i Annas lagi, tempoh edah isteri kematian suami juga berbeza dengan yang bercerai hidup namun seseorang wanita perlu ikut peraturan sudah digariskan dalam agama.

“Tempoh suci bagi cerai mati atau hidup juga berbeza. Mufti Wilayah Persekutuan pernah mengeluarkan artikel berkenaan isu ini, wanita dibenarkan bekerja jika kematian suami atau diceraikan dalam keadaan tidak diberikan apa-apa nafkah untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Kalau tanya, saya tidak faham keseluruhan konteks artis keluar untuk tujuan apa. Saya tidak mengikuti sangat perkembangan dia (Adira), jadi konteks yang saya kongsi mungkin tak sama dengan apa yang dilalui oleh artis berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, ada netizen mempersoalkan tindakan penyanyi Adira Suhaimi yang keluar bekerja dalam tempoh idah selepas bercerai dengan bekas suaminya, Datuk Red pada 23 April lalu.

SUMBER: BH Online