Bila sebut pasal belanjawan, mesti ramai terus terbayang angka berbilion ringgit, kan? Tapi apa yang kita nak tahu sebenarnya, apa manfaatnya kepada kita dan keluarga?

Yelah, kos sara hidup sekarang bukan makin murah. Nak uruskan perbelanjaan rumah, besarkan anak-anak, apatah lagi kalau dalam masa sama kena jaga mak ayah yang dah berusia. Semuanya perlukan duit, masa dan tenaga.

Sebab itulah Belanjawan MADANI 2027 turut memberi perhatian kepada kebajikan wanita, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan keluarga yang memerlukan sokongan.

Menerusi pengumuman terbaharu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerima peruntukan sebanyak RM4.355 bilion bagi memperkukuh perlindungan sosial dan sistem penjagaan negara.

Jumlah ini meningkat kira-kira empat peratus berbanding RM4.187 bilion pada 2026.

Haa, jadi apa yang menarik tentang peruntukan kali ini? Jom kita tengok satu per satu.

1. Bantuan warga emas cecah RM1.3 bilion, kos penjagaan turut dikurangkan

Korang bayangkan keluarga yang perlu hantar mak ayah ke pusat jagaan. Dalam masa sama, anak-anak pun ada komitmen sendiri, daripada bayaran rumah sampailah perbelanjaan harian.

Bukan mudah nak uruskan semuanya, kan?

Menerusi Belanjawan 2027, peruntukan khusus untuk warga emas melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ditingkatkan kepada RM1.3 bilion, yang dijangka memberi manfaat kepada hampir 200,000 warga emas di seluruh negara.

Bukan itu saja, kadar Cukai Perkhidmatan bagi perkhidmatan jagaan warga emas turut dikurangkan daripada lapan peratus kepada enam peratus.

Kerajaan juga mengumumkan pengecualian penuh bagi yuran jagaan sehingga RM96,000 setahun, tertakluk pada skop dan syarat yang ditetapkan.

Dalam masa sama, Rang Undang-Undang Warga Emas akan digubal bagi menangani isu pengabaian dan memperkukuh sistem penjagaan golongan ini.

Pendek kata, usaha menjaga warga emas bukan sekadar tentang bantuan kewangan. Aspek penjagaan yang lebih baik dan kehidupan yang bermaruah juga perlu diberi perhatian.

2. Bantuan penjagaan OKU terlantar naik RM600 sebulan

Bagi keluarga yang menjaga ahli keluarga OKU terlantar atau pesakit kronik, korang sendiri mungkin boleh bayangkan betapa besarnya tanggungjawab yang perlu dipikul.

Ada yang perlu bekerja, uruskan anak-anak dan pada masa sama memastikan ahli keluarga yang sakit mendapat penjagaan secukupnya.

Jadi, kenaikan bantuan penjagaan daripada RM500 kepada RM600 sebulan pastinya menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian.

Kalau dikira setahun, penerima yang layak akan mendapat tambahan RM1,200 berbanding kadar sebelum ini.

Selain itu, had pendapatan bulanan bagi kelayakan Elaun Pekerja OKU turut dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000.

Maksudnya, lebih ramai pekerja OKU berpeluang memenuhi syarat kelayakan untuk menerima elaun tersebut.

Secara keseluruhan, bantuan OKU dalam Belanjawan 2027 meningkat kepada RM1.5 bilion, melibatkan lebih 300,000 penerima.

Turut diumumkan ialah pas pengangkutan awam percuma untuk komuniti OKU serta kenaikan insentif pengajaran guru pendidikan khas daripada RM250 kepada RM300 sebulan.

Bagi keluarga yang terlibat, bantuan seperti ini boleh menjadi sokongan tambahan untuk menguruskan keperluan harian. Namun, jumlah sebenar yang diterima tetap bergantung pada jenis bantuan dan syarat kelayakan masing-masing.

3. Jaga mak ayah bukan tanggungjawab keluarga semata-mata

Pernah tak korang terfikir, siapa yang akan menjaga mak ayah apabila mereka semakin berusia nanti?

Ada keluarga yang mampu menguruskan penjagaan sendiri. Tapi ada juga yang terpaksa mendapatkan bantuan orang lain kerana komitmen kerja atau keadaan kesihatan ahli keluarga.

Sebab itu, sistem penjagaan yang lebih tersusun memang penting.

Menerusi Belanjawan 2027, kerajaan merancang membangunkan dua Pusat Kepakaran Penjagaan Bersepadu (NICE) di Pulau Pinang dan Sarawak untuk tujuan latihan, penyelidikan serta penjagaan warga emas.

Lebih RM40 juta melalui HRD Corp turut disediakan bagi melatih 8,000 tenaga kerja penjagaan warga emas.

Pada masa sama, 3,000 penjaga OKU baharu akan dibekalkan dengan kemahiran khusus.

KPWKM juga menyasarkan untuk melahirkan 50,000 penjaga berkemahiran menjelang 2030.

Haa, inilah antara perkara yang penting untuk kita faham. Penjagaan warga emas dan OKU bukan perkara kecil yang boleh diletakkan sepenuhnya di bahu ahli keluarga.

Dengan adanya tenaga penjagaan terlatih dan sistem yang lebih baik, keluarga diharap mempunyai lebih banyak pilihan untuk mendapatkan sokongan yang bersesuaian.

4. Anak berkeperluan khas turut diberi perhatian

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas, setiap perkembangan anak pastinya sangat bermakna.

Sebab itu, akses kepada terapi, pendidikan dan intervensi awal perlu diberi perhatian supaya anak-anak ini mendapat peluang untuk mengembangkan potensi masing-masing.

Dalam Belanjawan 2027, sebanyak 15 premis Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) akan dinaik taraf menjadi pusat terapi khusus.

Kemudahan ini merangkumi ruang terapi yang lebih sesuai, peralatan mencukupi dan akses yang lebih mesra OKU.

Selain itu, dua Pusat PERMATA Kurnia dirancang untuk dibangunkan di Melaka dan Pahang bagi kanak-kanak autistik.

Lebih 130 kelas Tabika Tunas Istimewa baharu juga akan dibuka di kawasan desa.

Dari segi bantuan kewangan, bantuan khas kanak-kanak daripada keluarga miskin bagi anak berusia enam tahun ke bawah dinaikkan daripada RM200 kepada RM250 seorang.

Bagi kanak-kanak berumur tujuh hingga 18 tahun pula, bantuan yang disenaraikan dalam dokumen Belanjawan 2027 meningkat daripada RM150 kepada RM200 seorang.

Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas turut naik daripada RM150 kepada RM200 sebulan, yang dijangka memberi manfaat kepada 150,000 murid termasuk anak autistik.

Bagi ibu bapa yang sedang membesarkan anak berkeperluan khas, kemudahan dan sokongan seperti ini penting supaya anak-anak mereka mendapat peluang belajar serta berkembang mengikut keperluan masing-masing.

5. Wanita dapat RM200 juta untuk peralatan dan latihan

Korang pernah tak ada kemahiran yang boleh dijadikan sumber pendapatan, tetapi tak dapat nak mulakan perniagaan sebab kekurangan modal?

Contohnya, pandai menjahit, memasak atau membuat sesuatu produk sendiri, tetapi nak beli peralatan pun memerlukan duit.

Haa, golongan wanita yang berdepan cabaran seperti ini antara kumpulan yang diberi perhatian menerusi Geran Sejahtera MADANI.

Kerajaan menyediakan RM200 juta bagi peralatan dan latihan kepada 40,000 penerima, khususnya wanita.

Selain bantuan peralatan, KPWKM turut melaksanakan program seperti KASIHNITA, PERANTIS dan KIRANA yang memberi tumpuan kepada pembangunan diri, kepimpinan, kemahiran dan peluang keusahawanan.

Program KIRANA, misalnya, menyediakan latihan berstruktur bersama geran peralatan dan bimbingan pemasaran digital bagi membantu wanita mengembangkan perniagaan.

Dalam masa sama, RM20 juta diperuntukkan untuk menambah baik pusat penjagaan anak di fasiliti kerajaan.

Kenapa perkara ini penting?

Sebab bagi sesetengah wanita, tanggungjawab menjaga anak menjadi antara cabaran untuk kembali bekerja atau membina perniagaan sendiri.

Jadi, selain menyediakan peluang menjana pendapatan, sokongan penjagaan anak juga perlu diberi perhatian supaya wanita mempunyai lebih banyak ruang untuk membina kehidupan yang lebih berdikari.

6. Pasangan yang sedang berusaha mendapatkan zuriat turut dibantu

Bukan semua pasangan mudah mendapat zuriat. Ada yang perlu melalui pelbagai pemeriksaan dan rawatan sebelum impian untuk menimang cahaya mata menjadi kenyataan.

Dalam keadaan kos rawatan yang boleh menjadi beban kepada sesetengah keluarga, bantuan seperti ini pastinya wajar diberi perhatian.

Menerusi Program BuAi (Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti) oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), kerajaan menawarkan subsidi sekitar RM2,000 bagi setiap kitaran rawatan kesuburan intrauterine insemination (IUI).

Program ini menyasarkan 2,000 pasangan yang layak, khususnya isi rumah berpendapatan bawah RM10,000 dengan isteri berumur di bawah 37 tahun.

Berdasarkan dokumen KPWKM, program BuAi merekodkan 184 kes kehamilan pada 2025 dan 112 kes sehingga September 2026.

Selain rawatan kesuburan, LPPKN menyasarkan 42,000 individu menerusi kempen advokasi kesuburan dan perkhidmatan kesejahteraan lelaki.

Ada juga berita yang mungkin relevan untuk keluarga yang sedang merancang kewangan. Skop pelepasan cukai individu diperluas untuk merangkumi kos penjagaan selepas bersalin serta perbelanjaan penjagaan ibu bapa dan datuk atau nenek.

Saringan talasemia secara percuma turut diperluas kepada suami serta anak-anak pembawa.

Jelaslah, sokongan kepada keluarga bukan hanya berkaitan perbelanjaan membesarkan anak, tetapi turut merangkumi perjalanan mendapatkan zuriat dan menjaga ahli keluarga yang semakin berusia.

7. Penduduk luar bandar pun tak boleh tercicir

Satu lagi perkara yang penting ialah memastikan bantuan dan kemudahan yang diumumkan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.

Sebab kita tahu, bukan semua orang tinggal berdekatan dengan hospital, pusat kesihatan atau kemudahan kerajaan.

Bagi penduduk luar bandar dan pedalaman, akses kepada perkhidmatan tertentu boleh menjadi cabaran tersendiri.

Jadi, KPWKM akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan, kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti bagi meluaskan capaian perkhidmatan.

Antara usaha yang diberi perhatian ialah Pusat Keluarga Bergerak LPPKN yang menyediakan program saringan kesihatan wanita termasuk HPV DNA dan mamogram.

Pendekatan ini penting supaya golongan yang tinggal jauh dari kawasan bandar juga mempunyai peluang mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan.

Namun, selain pengumuman peruntukan, pelaksanaan dan penyampaian bantuan juga perlu diberi perhatian supaya mereka yang layak tidak tercicir.

Jadi, apa yang paling penting untuk kita faham?

Kalau tengok keseluruhan Belanjawan MADANI 2027 untuk KPWKM, memang ada pelbagai kumpulan yang diberi perhatian, daripada warga emas dan OKU hinggalah kepada wanita, kanak-kanak serta pasangan yang memerlukan rawatan kesuburan.

Peruntukan RM4.355 bilion ini bukan sekadar angka besar di atas kertas. Yang lebih penting ialah bagaimana peruntukan tersebut diterjemahkan kepada bantuan, kemudahan dan perkhidmatan yang benar-benar diperlukan rakyat.

Bagi keluarga yang menjaga ibu bapa uzur, kenaikan bantuan penjagaan mungkin dapat membantu mengurangkan sebahagian beban.

Bagi wanita yang mempunyai kemahiran tetapi kekurangan modal, bantuan peralatan dan latihan pula boleh membuka peluang untuk menjana pendapatan.

Begitu juga dengan keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas, yang memerlukan akses kepada terapi, pendidikan dan kemudahan bersesuaian.

Akhirnya, setiap keluarga mempunyai cabaran masing-masing. Sebab itulah sistem sokongan sosial yang baik penting supaya golongan yang memerlukan tidak perlu menghadapi semuanya sendirian.

Apa pun, bagi korang yang rasa mana-mana inisiatif ini berkaitan dengan keadaan keluarga sendiri, pastikan semak syarat kelayakan dan maklumat pelaksanaan melalui saluran rasmi sebelum membuat sebarang permohonan.

×