fbpx

REVIEW: Wreck-It Ralph

OLEH: AJAMI HASHIM

Wreck-It Ralph (2012) ialah sebuah filem animasi dalam 3D terbitan Walt Disney Animation Studios. Ia diarahkan oleh Rich Moore iaitu salah seorang pengarah sitkom animasi The Simpsons. Pelakon suara latar untuk watak utama Wreck-It Ralph ialah John C. Reilly yang terkenal dalam filem Chicago (2002).

Ia kisah Wreck-It Ralph suatu ‘watak penjahat’ yang dicipta khas dalam permainan video Fix-It Felix Jr. Fungsinya dalam setiap permainan ialah memusnahkan dengan tangan dan kakinya, sebuah rumah pangsa yang didiami oleh penghuni bergelar Nicelanders.

Manakala ‘watak hero’ ialah Fix-It Felix, Jr (suara oleh Jack McBrayer) yang akan membaiki semula kerosakan yang dilakukan oleh Ralph dengan ‘tukul ajaib’nya.

Ia menceritakan kehidupan ‘di belakang tabir’ watak-watak permainan video setiap kali kedainya ditutup. Pada hari ulangtahun ke-30 permainan Fix-It Felix, Ralph merasakan bahawa dia sudah mula bosan dengan rutinnya sebagai seorang ‘penjahat’.

Tambahan pula sambutan itu hanya diraikan oleh Nicelanders bersama Felix sebagai ‘hero’. Ralph rasa dipinggirkan sedangkan dia juga ialah sebahagian dari permainan itu. Dia mahu merasa dihargai seperti Felix. Maka Ralph bernekad akan mendapatkan sebuah ‘pingat’ dalam permainan video untuk setanding dengan Felix.

Maka bermulalah pengembaraan Ralph melalui berbagai dugaan dalam 2 permainan video lain yang lebih mencabar berbanding rutinnya dalam Fix-It Felix. Ralph berjuang dalam permainan Hero’s Duty yang diketuai oleh Sergeant Calhoun (suara Jane Lynch) sehingga dia berjaya menjuarai sebuah pingat.

Malangnya kerana satu insiden tanpa diduga menyebabkan Ralph diserang oleh seekor Cy-Bug, makhluk asing dalam permainan itu. Ralph dan Cy-Bug tercampak ke dalam satu lagi permainan video, Sugar Rush. Di situ pula Ralph akan bertembung dengan Vanellope von Schweetz (suara oleh Sarah Silverman). Tanpa memberikan spoiler, saya sarankan anda menonton sendiri kesudahan kisah ini!

Secara peribadi, saya berpendapat bahawa filem ini seolah gabungan penceritaan ala filem Toy Story (1995), Tron (1982) dan The Matrix (1999). Watak Ralph digambarkan sebagai anti-hero yang bercita-cita menjadi hero tetapi seperti perumpamaan ‘bagai tikus membaiki labu’. Sesuai dengan fizikal dan sifat semulajadi Ralph sebagai ‘pemusnah’, setiap apa yang disentuh atau dilakukannya akan binasa atau mendapat musibah. Namun dia tak pernah putus asa dan cuba memperbaiki apa yang telah dijahanamkan di sepanjang pengembaraannya.

how to get your ex back

=”http://i.imgur.com/LUzQL.jpg” alt=”” />

Menariknya filem ini kerana semua perwatakannya berlegar dalam dunia permainan komputer sahaja tanpa bergantung hendak memuaskan kehendak si pemain (manusia). Filem ini tidak seperti filem-filem adaptasi dari permainan video popular di pasaran yang direalisasikan sebagai perwatakan hidup yang berunsur pertarungan atau peperangan baik menentang jahat. Wreck-It Ralph ialah kisah ‘kehidupan’ dalam dunianya sendiri dengan menekap perwatakan manusia yang terpinggir tetapi bercita-cita tinggi. Watak Ralph diberikan emosi dalam drama kekeluargaan jenama Disney.

Filem ini juga menampilkan cameo beberapa perwatakan dari permainan video yang popular samada dalam bentuk watak lalu-lalang, poster di dinding atau dalam dialog. Antaranya ialah Bowser dari siri the Mario, Doctor Eggman dari Sonic the Hedgehog dan Neff dari Altered Beast. Watak-watak Q*bert iaitu Q*bert, Coily, Slick, Sam dan Ugg. Chun-Li, Cammy dan Blanka dari Street Fighter. Pac-Man, Blinky, Pinky dan Inky dari Pac-Man, The Paperboy dari Paperboy serta Pemukul dan Bola dari Pong. Dig Dug, Pooka dan Fygar dari Dig Dug, The Qix dari Qix serta Frogger dari Frogger. (kredit: wikipedia)

Kelebihan membikin filem dengan permainan komputer Fix-It Felix, rekaan sepenuhnya untuk filem ini sahaja ialah kerana ia tidak perlu risau dengan kehendak atau perbandingan oleh penonton dengan permainan asalnya. Pembikinnya bebas untuk mengembangkan semua perwatakan mengikut kesesuaian penceritaan filem. Malahan sebaliknya permainan video selepas filemnya ditayangkan akan dipasarkan untuk mengaut keuntungan dari populariti filem.

Dari segi teknologi pembikinan filem animasi, Wreck-It Ralph berjaya mempersembahkan 3 bentuk lanskap dunia permainan video. Fix-It Felix pasti mengingatkan penonton kepada permainan video di tahun 80-an. Hero’s Duty pula ialah permainan video ‘pertarungan’ interaktif dengan visual 3D yang mendebarkan. Manakala Sugar Rush ialah permainan video ‘lumba kereta’ yang comel dan berwarna-warni. Namun begitu keperluan penontonan 3D untuk filem ini tidaklah begitu dirasakan kerana kualiti animasinya yang begitu terperinci sudah memadai ditonton dalam 2D sahaja.

KESIMPULAN: Wreck-It Ralph ialah filem untuk tontonan seisi keluarga. Semua orang ada watak ‘Ralph’ dalam diri kita yang pernah rasa terpinggir. Namun kita juga mahu sekuat dan seberani Ralph dalam filem ini untuk dihormati. Samada anda ibu bapa yang menemani anak-anak di pawagam atau orang dewasa bujang, filem ini masih menghiburkan untuk ditonton. Saya tidak ragu-ragu untuk berikan 4 BIJI ROTIKAYA untuk filem ini. Best!

zp8497586rq