OLEH: AJAMI HASHIM


Wreck-It Ralph (2012) ialah sebuah filem animasi dalam 3D terbitan Walt Disney Animation Studios. Ia diarahkan oleh Rich Moore iaitu salah seorang pengarah sitkom animasi The Simpsons. Pelakon suara latar untuk watak utama Wreck-It Ralph ialah John C. Reilly yang terkenal dalam filem Chicago (2002).

Ia kisah Wreck-It Ralph suatu ‘watak penjahat’ yang dicipta khas dalam permainan video Fix-It Felix Jr. Fungsinya dalam setiap permainan ialah memusnahkan dengan tangan dan kakinya, sebuah rumah pangsa yang didiami oleh penghuni bergelar Nicelanders.

Manakala ‘watak hero’ ialah Fix-It Felix, Jr (suara oleh Jack McBrayer) yang akan membaiki semula kerosakan yang dilakukan oleh Ralph dengan ‘tukul ajaib’nya.

Ia menceritakan kehidupan ‘di belakang tabir’ watak-watak permainan video setiap kali kedainya ditutup. Pada hari ulangtahun ke-30 permainan Fix-It Felix, Ralph merasakan bahawa dia sudah mula bosan dengan rutinnya sebagai seorang ‘penjahat’.


Tambahan pula sambutan itu hanya diraikan oleh Nicelanders bersama Felix sebagai ‘hero’. Ralph rasa dipinggirkan sedangkan dia juga ialah sebahagian dari permainan itu. Dia mahu merasa dihargai seperti Felix. Maka Ralph bernekad akan mendapatkan sebuah ‘pingat’ dalam permainan video untuk setanding dengan Felix.

Maka bermulalah pengembaraan Ralph melalui berbagai dugaan dalam 2 permainan video lain yang lebih mencabar berbanding rutinnya dalam Fix-It Felix. Ralph berjuang dalam permainan Hero’s Duty yang diketuai oleh Sergeant Calhoun (suara Jane Lynch) sehingga dia berjaya menjuarai sebuah pingat.

Malangnya kerana satu insiden tanpa diduga menyebabkan Ralph diserang oleh seekor Cy-Bug, makhluk asing dalam permainan itu. Ralph dan Cy-Bug tercampak ke dalam satu lagi permainan video, Sugar Rush. Di situ pula Ralph akan bertembung dengan Vanellope von Schweetz (suara oleh Sarah Silverman). Tanpa memberikan spoiler, saya sarankan anda menonton sendiri kesudahan kisah ini!

Secara peribadi, saya berpendapat bahawa filem ini seolah gabungan penceritaan ala filem Toy Story (1995), Tron (1982) dan The Matrix (1999). Watak Ralph digambarkan sebagai anti-hero yang bercita-cita menjadi hero tetapi seperti perumpamaan ‘bagai tikus membaiki labu’. Sesuai dengan fizikal dan sifat semulajadi Ralph sebagai ‘pemusnah’, setiap apa yang disentuh atau dilakukannya akan binasa atau mendapat musibah. Namun dia tak pernah putus asa dan cuba memperbaiki apa yang telah dijahanamkan di sepanjang pengembaraannya.

how to get your ex back