fbpx

Zul Ariffin Tak Marah Dengan Isu Video Lucah

Disember lalu nama Zul Ariffin menjadi bualan ramai apabila tular rakaman video aksi panas seorang lelaki mirip dirinya. Akui kecewa terkait dengan isu sedemikian, Zul menjelaskan dia menjadi mangsa ‘deepfake’.

Meskipun isu itu sehingga kini masih diperkatakan, namun Zul berkata dia tidak terkesan dengan insiden berkenaan. Ujarnya lagi, perkara itu tidak memberi sebarang impak kepadanya kerana dia hanya pelakon dan bukan seorang selebriti.

BACA: Zul Ariffin Perjelas Isu Video Lucah, Jadi Mangsa Deepfake

“Kalau seseorang menganggap dirinya selebriti, ia mungkin memberi kesan kerana membabitkan imej. Saya lebih menjaga kualiti lakonan di lokasi penggambaran. Sebagai seorang pelakon, hanya ini yang saya tahu, selebihnya adalah kehidupan peribadi.

“Saya tidak boleh menghentikan orang nak buat macam-macam. Hanya merisaukan saya adalah perkara memberikan impak buruk kepada kerjaya,” katanya kepada BH Online.

Enggan mengulas lanjut mengenai video panas itu, Zul berkata dia langsung tidak marah dan itu bukanlah kali pertama dia menjadi mangsa teknologi. Katanya lagi, dia sudah melalui pelbagai kontroversi sepanjang bergelar anak seni.

“Saya tiada komen untuk hal berkaitan dengan video. Tiada sebab saya marah walaupun sering menjadi mangsa teknologi. Mereka boleh melakukan apa saja yang dimahukan.

“Untuk saya, ia tidak memberi kesan. Saya masih lagi bekerja seperti biasa,” katanya.

Terdahulu, tular  di laman Twitter rakaman video memaparkan seorang lelaki mirip pelakon berbadan sasa itu dalam keadaan berbaring sambil menunjukkan alat sulitnya. Susulan penularan video tersebut, timbul persoalan apabila akuan Instagram Zul dinyahaktifkan.