fbpx

Zizi Kirana Tak Mahu Bertunang, Nak Terus Nikah

Usia mencecah 35 tahun, pasti penyanyi Zizi Kirana tidak terlepas dengan soal jodoh. Zizi berkata jika dia sudah ada calon sesuai dia tidak mahu bertunang kerana takut dengan dugaan sepanjang tempoh tersebut.

Menurut Zizi, melihat pengalaman rakan-rakan yang gagal dalam perhubungan membuatkan dia mahu terus berkahwin kerana bimbang dan ujian ketika bertunang.

BACA: Zizi Kirana Dedah Ramai Golongan Ustaz Cuba Mendekatinya

“Sejujurnya saya takut nak bertunang lama-lama, kalau boleh nak terus kahwin. Tak payah bertunang sebab tengok pengalaman orang sekeliling yang banyak berdepan ujian.

“Ada kenalan saya yang sedang membilang hari untuk berkahwin tapi putus kerana ada hasutan-hasutan dan godaan menakutkan daripada orang sekeliling. Sebab itulah orang kata nak bertunang senyap-senyap sahaja, tunjuk gambar bila dah selesai semuanya,” katanya.

Zizi berkata dia sentiasa meminta padangan ibunya berkenaan jodoh supaya tidak tersalah memilih lelaki. Zizi turut bersyukur keluarga tidak pernah meletakkan syarat tentang bakal suami.

“Selalunya saya minta pandangan ibu dahulu, sesuai tak dengan lelaki ini, saya minta dia beritahu awal-awal kalau tak suka, jangan hubungan dah jauh baru nak kata tak suka.

“Saya juga dah beritahu ibu kalau nak buat majlis pertunangan juga, biar hanya keluarga dan kawan-kawan terdekat sahaja yang tahu.

“Nasib baik ibu saya memahami dan tak pernah memaksa saya cari bakal suami. Kebiasaannya kalau ada lelaki nak dekat, saya akan beritahu ibu dahulu supaya dia boleh tengok karakter lelaki itu,” katanya.