fbpx

Selepas dua tahun, akhirnya penyanyi Zizi Kirana muncul dengan buah tangan baru berjudul Pijak.

Pertama kali menyanyikan lagu rap dengan imej berhijab, Zizi akui bimbang dengan penerimaan orang ramai. Bagaimanapun, Zizi berkata orang sekelilingnya sentiasa memberi kata semangat.

BACA: “Saya Tak Layak Terima Pujian” – Zizi Kirana

“Sejujurnya sebelum dilancarkan saya nervous, saya takut macam mana penerimaan orang di luar, saya terfikir bolehkah mereka terima saya menyanyikan lagu rap.

“Benda ni sentiasa bermain di kepala tapi Alhamdulillah orang sekeliling memberikan kata-kata semangat, jadi saya ikut sajalah. Apabila berpenampilan begini kita pun tahu apa yang perlu dibataskan,” katanya.

Kata Zizi lagi, dia tahu menjaga batas apatah lagi dia sudah berubah imej dan kini status sebagai isteri. Ujarnya lagi, gerak tarinya juga tidak selincah dulu.

Semestinya lagu baharu ini ada cabarannya kerana saya sudah berubah imej dan menjadi isteri orang, kita kena tahu la batasan, di mana pergerakan dan tarian dah tak boleh selincah macam dulu.

“Kami satu pasukan duduk berbincang dan fikirkan apa yang sesuai… kalau bergerak pun sikit-sikit sahaja, yang penting mesej dalam lagu itu sampai kepada pendengar,” katanya.

Dalam pada itu, Zizi gembira apabila orang ramai masih boleh menerima dirinya sebagai penyanyi rap. Malah, MV lagu Pijak tidak menerima kecaman.

“Alhamdulillah tak ada pun komen kecam MV itu, sampaikan admin yang menguruskan YouTube pun terkejut tengok semua tulis komen positif… dia siap mengusik saya katanya boringlah tak ada orang kutuk,” katanya.