Umum mengetahui baru-baru ini foto dipercayai bekas anggota Too Phat, Malique bercuti bersama keluarganya tular di media sosial. Difahamkan, foto tersebut dirakam dari jarak jauh oleh netizen.

Susulan penyebaran foto tersebut, penyanyi Zizi Kirana yang merupakan anak didik kepada Malique mendedahkan penyanyi rap itu kesal apabila fotonya bersama keluarga tular.

BACA: Sekian Lama Menghilang, Foto Malique Too Phat Tersebar

“Ya! Malique ada meluahkan rasa kecewa dengan penyebaran gambar dia bersama keluarga di lapangan terbang di sebuah negara baru-baru ini.

“Dia mengaku rasa kurang selesa apabila mendapat tahu ada orang kongsi gambar itu di Facebook sehinggakan ia menerima liputan beberapa blog.

“Tapi saya cakap dengan dia biasalah sekarang ini zaman media sosial, apa-apa pun orang akan muat naik dahulu, jadi perkara sebegitu pasti akan berlaku,” katanya kepada mStar Online.

Zizi turut menyarankan peminat yang ingin bergambar dengan Malique supaya bertemu dan meminta kebenaran terlebih dahulu daripada dirakam secara curi-curi.

Dalam pada itu, Zizi bertaka dia sangat selesa bekerjasama dengan Malique dan menganggap penyanyi rap itu seperti abangnya sendiri. Zizi menyifatkan Malique seorang yang profesional, fokus dengan kerja dan sangat berdisiplin.