fbpx

Ziana Zain Mohon Maaf Hina Mahkamah

Penyanyi Ziana Zain membuat permohonan maaf selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini kerana menghina mahkamah dengan memberikan kenyataan kepada pihak media berhubung kes penderaan anaknya melibatkan bekas suami, Armin Zaharin.

Ziana didakwa mengeluarkan beberapa kenyataan dalam sidang akhbar dan temubual di majalah InTrend keluaran Jun lalu berhubung kes dera membabitkan seorang anaknya.

Dalam permohonan maafnya itu, Ziana memberitahu dia tidak berniat untuk menghina mahkamah dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

BACA: Armin, Ziana Zain Sah Bercerai Talak Satu

“Terima kasih atas peluang diberikan kepada saya. Saya tidak berniat untuk menghina mahkamah dan kenyataan dikeluarkan lebih kepada personal matter (hal peribadi) saya. Saya memohon maaf kepada mahkamah. Saya juga berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu,” katanya.

Ziana yang ditemani adiknya, penyanyi Anuar Zain membuat permohonan maaf itu di hadapan Majistret, Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Raja Noor Adilla dalam keputusannya menerima permohonan dibuat pihak pemohon iaitu Armin terhadap penghina (Ziana) selepas mendapati wujud keraguan munasabah terhadap kes itu.

Mahkamah menerima permohonan maaf tersebut dengan satu amaran iaitu tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan sepanjang kes perbicaraan berjalan.

Pada Mac lalu, Armin Zaharin didakwa dengan sengaja menyebabkan luka dan lebam pada anak lelaki mereka berusia sembilan tahun menggunakan rotan. Bagaimanapun, Armin mengaku tidak bersalah terhadap kes yang didakwa.

Pada Julai lalu, Ziana sah bercerai talak satu dengan Armin di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.