fbpx

Zed Zaidi Syukur Dilantik AJK Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan FINAS

Dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Hal Ehwal warga Industri, Kebajikan dan Data Industri Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Presiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi meluahkan rasa syukur di atas perlantikan itu.

Berkongsikan surat pelantikannya itu di Instagram, Zed turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia dan FINAS. Zed berkata dia akan menjalankan tanggungjawab serta amanah yang diberikan sebaik mungkin.

BACA: Sebar Berita Palsu Coronavirus, Zed Zaidi Dipanggil SKMM

Zed memberitahu dia akan terus memperjuangkan hak kebajikan anak seni seperti yang dilakukan Seniman sebelum ini, malah tanggungjawabnya selepas ini menjadi lebih besar selepas dilantik sebagai AJK FINAS.

“Saya akan teruskan perjuangan membantu anak-anak seni tetapi selepas dilantik sebagai AJK di FINAS ini sudah tentu tanggungjawab menjadi lebih besar.

“Misi saya adalah untuk melakukan kebajikan secara inklusif terhadap industri seni kreatif di Malaysia ini,” katanya kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, Zed berkata dia tidak mempedulikan jika ada pihak mempertikai jawatan yang disandang dalam FINAS itu. Katanya lagi, jika tiada kecaman bermakna orang tidak nampak perjuangannya selama ini.

“Sebenarnya saya tak kisah pun warganet atau netizen nak hentam saya, nak suka saya atau tidak kerana bagi saya benda tu lumrah.

“Bagi saya, kalau tak ada orang yang mengecam maknanya tak nampaklah perjuangan kita tu. Sekurang-kurangnya perjuangan kita selama ini diiktiraf oleh FINAS dan Kementerian,” katanya.