fbpx

Sebar Berita Palsu Coronavirus, Zed Zaidi Dipanggil SKMM

Kecoh mengenai statusnya berhubung coronavirus di laman Twitter, Presiden Seniman, Zed Zaidi dipanggil memberi keterangan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung tindakannya berkongsi berita palsu mengenai wabak tersebut.

Memetik laporan BH Online, Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Jamil tiba di Menara MCMC bersama peguamnya Zamri Idrus pada 3.30 petang Jumaat dan memberi keterangan hampir dua jam.

BACA: “Takkan Saya Tak Tahu Itu Berita Palsu”

Peguamnya, Zamri Idrus memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana telah berkongsi maklumat palsu kononnya semua negara telah menyekat kemasukan pelancong China kecuali Malaysia.

Dalam pada itu, Zed Zaidi yang memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi menyiasat kes itu turut menasihati kepada orang ramai supaya berhati-hati ketika menulis di media sosial.

“Untuk yang di luar sana berhati-hati bila post (membuat hantaran di media sosial),” katanya.

Menurut peguamnya lagi, Zed Zaidi tiada niat untuk menyebarkan berita palsu atau mencetuskan panik dan posting itu hanyalah persoalan peribadi.

“Kami dimaklumkan tadi oleh pihak SKMM, sekiranya ada keperluan untuk mereka mendapatkan butiran lanjut daripada Zed, mereka akan panggil (semula).

“Tidak sama sekali, itu memang disahkan oleh Zed sendiri. Tidak ada niat apa pun,” katanya.

Terdahulu, dalam status tersebut Zed Zaidi turut berkata situasi di negara ini juga sudah tidak selamat apabila orang ramai terpaksa memakai topeng masa sepanjang masa bagi mengelak dari dijangkiti influenza dan wabak koronavirus.