fbpx

Zed Zaidi Gesa Artis Terlibat Kes ‘Cuci Duit’ Tampil Bantu SPRM

Baru-baru ini hangat diperkatakan mengenai sindikat Macau Scam yang menggunakan populariti artis untuk menjalankan kegiatan ‘mencuci’ duit haram melalui pelbagai usaha sama dan perniagaan sah.

Perkara itu turut mendapat perhatian Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi yang menggesa selebriti yang ada kaitan dengan kegiatan ‘cuci duit’ haram tampil memberi kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

BACA: Zed Zaidi Syukur Dilantik AJK Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan FINAS

“Tampil untuk serah diri bagi memberi kerjasama. Ia lagi baik dilakukan secara suka rela kerana boleh nampaklah artis-artis yang berkenaan itu bertanggungjawab.

“Jadi, untuk benda yang berkait rapat seperti ini, sesiapa artis terbabit atau berasa nama mereka mungkin ada boleh menghubungi SPRM untuk dapatkan maklumat lanjut atau tampil secara sukarela,” katanya.

Menurut Zed, biar sikap tanggungjawab dilakukan selebriti berkenaan boleh menjadi contoh kepada masyarakat. Katanya lagi, mungkin imej artis berkenaan akan tercalar namun keberanian mereka boleh dijadikan contoh.

“Sebelum kes ini pun, ada juga golongan artis terbabit dengan ‘along’ dan dadah. Apapun, tak perlu berasa malu kerana kerjasama diberikan itu boleh jadi contoh tanggungjawab pada masyarakat.

“Kalau kita tak bersalah, tak perlu rasa takut. Dengan keberanian dan sikap tanggungjawab itu, artis boleh jadi ikon kepada orang ramai,” katanya.

Terdahulu, SPRM mendedahkan pihak merkea mempunyai senarai individu termasuk selebriti dan ahli perniagaan yang dikesan terbabit dalam aktiviti ‘mencuci’ wang haram tersebut.

Ketua Pesuruhjaya, Datuk Seri Azam Baki, berkata individu terbabit diminta menghadirkan diri di SPRM, sebelum dipanggil untuk membantu siasatan.