fbpx

Zara Zya Dah Jumpa Pengganti, Jihan Kata Abang Uniform

Hampir 3 bulan episod putus tunangnya berlalu, Zara Zya mengakui sedang bahagia bersama insan istimewa. Bagaimanapun, Zara enggan mendedahkan identiti jejaka itu kerana mereka masih dalam proses perkenalan.

Menurut Zara, dia mula mengenali jejaka itu sejak bulan lalu. Baru-baru ini, Zara ada memuat naik status di Instagram bahawa hatinya kini sudah dimiliki. Zara turut memberi bayangan bahawa jejaka itu bukanlah seorang selebriti.

BACA:Baru Putus Tunang, Zara Zya Hangat Bercinta Dengan Azlee Khairi?

“Saya bahagia. Memang saya sudah bertemu seseorang. Sekarang adalah fasa hendak mengenali diri masing-masing dengan lebih dekat. Cuma siapa dia? Saya masih belum boleh kongsi sebab semuanya belum pasti.

“Jangan risau, saya pasti akan kongsi berita gembira ini kepada semua. Walau apa pun, saya mohon semua mendoakan kebahagiaan saya,” katanya kepada BH Online.

Perkongsiannya itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang gembira dengan perkhabaran tersebut, termasuklah rakan baiknya, Jihan Muse yang menyatakan jejaka istimewa terbabit adalah anggota pasukan beruniform.

Ditanya adakah jejaka tersebut adalah anggota pasukan beruniform, bagaimanapun Zara enggan mengulas. Ujarnya, cukuplah orang semua tahu bahawa dirinya kini sedang gembira dan bahagia.

“Saya pun tidak tahu kenapa Jihan komen begitu. Apa pun pekerjaannya, biarlah rahsia. Saya tak berani hendak komen lebih. Cukuplah orang tahu saya sedang gembira,” katanya.

Zara pernah bertunang dengan pelakon Hafreez Adam pada 12 Oktober tahun lalu, namun, ikatan itu hanya bertahan tiga bulan.