Pelakon Zahirah MacWilson berkongsikan sejak Ramadan lalu dia memasang niat membaca serta memahami terjemahan Al-Quran.
Menerusi perkongsian di Instagram, Zahirah berkongsikan Al-Quran tersebut adalah hadiah daripada suaminya, Aiman Hakim sempena perkahwinan mereka enam tahun lalu.
BACA: Zahirah MacWilson Bertudung Ketika Bercuti, Netizen Titip Doa
“Subhanallah, rasa sedikit emosi pagi ini… Al-Quran yang indah ini dihadiahkan kepada saya oleh suami tersayang pada hari perkahwinan kami enam tahun lalu.
“Pada awal tahun ini ketika Ramadan, saya berniat untuk membaca dan menghabiskan Al-Quran (terjemahan). Sejujurnya, saya sangka ia akan mengambil masa lebih lama,” katanya.
Sementara itu, Zahirah berkata semakin dia mendalami terjemahan Al-Quran, setiap persoalan selama ini terjawab.
“Tetapi apabila saya teruskan membaca beberapa muka surat setiap pagi selepas Subuh, saya mula rasa rindu dan ingin mengetahui lebih banyak tentang kata-kata Tuhan kita, Pencipta kita.
“Setiap persoalan, setiap fikiran terjawab. Setiap kerisauan, setiap kesakitan diredakan. Alhamdulillah, syukur. Ini baru permulaan, Insya-Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Zahirah turut menitipkan doa serta kata-kata semangat buat mereka lalui perjalanan sama atau berhasrat untuk mula mendalami Al-Quran.
“Saya menggalakkan anda membaca dan memahami keseluruhan Al-Quran dalam apa sahaja bahasa yang paling mudah untuk difahami sebelum meneruskan perjalanan dengan lebih jauh.
“Semoga Allah SWT membimbing kita, semoga niat kita sentiasa ikhlas dan semoga Dia mempermudahkan segala urusan kita,” tulisnya.