Mengambil keputusan untuk memakai purdah, pelakon dan pengacara, Yatt Hamzah berkata dia sebenarnya sudah mula mengenakan purdah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.
Ujarnya, ketika itu hampir setiap hari dia memakai purdah sewaktu mengambil dan menghantar anak ke sekolah. Yatt berkata sebelum itu dia memakai pelitup muka namun lebih selesa jika berpurdah sahaja.
BACA: Yatt Hamzah Teringin Berniqab, Sampai Menangis Beritahu Suami
“Saya dah mula pakai purdah sejak PKP lagi dan ketika PKPP, saya pakai hampir setiap hari ketika menghantar dan mengambil anak dari sekolah. Sebelum ini, saya pakai pelitup mulut dan hidung.
“Tapi, apabila fikirkan semula, baik saya berpurdah saja sebab lebih selesa. Jadi, saya mula perlahan-lahan,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Yatt keputusannya untuk berpurdah itu turut mendapat sokongan oleh suaminya, Mohammad Zulfadhli Khairuddin. Katanya, dia berpurdah bukan kerana ia wajib tetapi dapat elakkan dari sebarang fitnah.
“Saya ada luahkan hasrat untuk berpurdah kepada suami dan dia pun sokong. Bukan sebab saya terlalu cantik atau wajib, tapi sebab memakai purdah, banyak perkara seperti fitnah boleh dielakkan.
“Dengan memakai purdah juga, saya dapat mengawal diri saya sebab ramai tahu, saya jenis periang dan suka ketawa. Apabila pakai purdah, dapatlah kawal diri kita,” katanya.
Dalam pada itu, Yatt akui dia masih dalam proses belajar dan mengharapkan supaya orang ramai mendoakan dirinya terus istiqomah.