fbpx

Yana Samsudin Pernah Tolak Rombongan Merisik Fadzil Zahari

Hampir enam tahun berumah tangga, baru-baru ini pelakon Yana Samsudin mengimbas kembali kenangan sebelum mendirikan rumah tangga dengan sahabat baiknya Fadzil Zahari.

Menurut Yana, suaminya itu sudah lama menyimpan perasaan malah pernah menghantar rombongan merisik ke Johor namun dia terpaksa menolak secara baik kerana tidak bersedia serta tanggungjawab terhadap keluarga.

BACA: Yana Samsudin Selamat Lahirkan Bayi Perempuan

“Saya tahu Fadzil sebenarnya sudah lama sukakan saya, malah dia juga pernah menghantar rombongan merisik ke Johor ketika itu, namun ditolak secara baik. Bukan apa, banyak perkara yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

“Saya ingin membeli rumah buat keluarga terlebih dulu, malah tidak ralat walaupun hanya memakai kereta Perodua Kelisa ketika itu. Biarlah orang lain menukar kereta dan sebagainya, saya setia dengan kereta lama kerana banyak yang saya impikan pada masa itu,” katanya.

Dalam pada itu, Yana meluahkan rasa syukur Fadzil sentiasa berada disisinya walaupun pelbagai ujian dan dugaan ditempuhi mereka.

“Alhamdulillah, selepas semuanya terlaksana, saya bersedia untuk memikirkan mengenai diri sendiri pada usia 30 tahun. Saya bersyukur walau apa jua cabaran dan rintangan, Fadzil sentiasa berada di sisi,” katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan kariernya, Yana berkata dia lebih selesa bergerak di belakang tabir sebagai pengarah, namun rezekinya lebih memihak sebagai pelakon.

Yana merupakan pengarah filem termuda pada usia 23 tahun ketika mengarahkan filem Selamat Pagi Cinta lakonan Fazura dan Pierre Andre pada 2008. Filem itu mencatat kutipan hampir RM1 juta.

“Saya bermula sebagai penyanyi untuk lagu filem Mami Jarum ketika berusia 17 tahun. Kemudian saya bekerja di Metrowealth International Group (MIG) di bahagian suntingan dan di situlah bermula segalanya,” katanya.