fbpx

Wawa Zainal, Aeril Zafrel Serbu Premis Jual Produk Kosmetik Tiruan

Kesal dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab dipercayai mengedar produk kosmetik tiruan jenama miliknya, Wawa Zainal dan suaminya, Aeril Zafrel, semalam menyertai serbuan di sebuah premis di Taman Putra Utama, di Kangar.

Memetik laporan Astro Awani, pasangan itu bersama sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis, menyerbu premis berkenaan setikar jam 12.15 tengah hari.

BACA: Selepas Bina Masjid, Aeril & Wawa Nak Buka Pusat Tahfiz

Dalam serbuan berkenaan, lebih 5,542 unit peralatan kosmetik dianggarkan bernilai RM210,596 dirampas dan 16 individu berusia 20 hingga 31 tahun pemilik perniagaan berkenaan ditahan untuk membantu siasatan.

Pengarah KPDNHEP Perlis, Norazah Jaapar, berkata serbuan dilakukan selepas pihaknya mendapat aduan daripada pasangan selebriti itu mengenai pengeluaran produk kosmetik menggunakan logo dan jenama yang mengelirukan pengguna.

“Hasil siasatan mendapati premis terbabit telah beroperasi lebih dari tiga tahun dan turut menjalankan perniagaan menggunakan sistem ejen selain dijual di dalam talian.

“KPDNHEP juga telah melihat iklan mengelirukan yang telah dikeluarkan oleh syarikat milik ahli perniagaan terbabit. Tindakan itu boleh memanipulasi persepsi pengguna kerana telah menggunakan logo pemilik asal,” katanya.

Difahamkan, syarikat terbabit dipercayai memiliki sebuah gudang di Kedah dan menjadikan premis di Taman Putra Utama sebagai pusat pengedaran.