Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun mendedahkan wajahnya telah disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab di Indonesia.
Memetik Astro Gempak, Hafiz berkata dia masih menerima laporan polis daripada mangsa yang terlibat dalam love scam yang menggunakan wajahnya.
BACA: Bekas Kekasih Hafiz Hamidun Meninggal Dunia Akibat Covid-19
“Wajah saya telah digunakan oleh scammer di Indonesia. Jadi, wajah saya kini menjadi buruan di Indonesia kerana love scam, namun itu bukan saya. Mereka menggunakan wajah saya tetapi dengan nama yang berbeza.
“Setiap hari, sehingga kini, saya masih menerima laporan polis dan tangkapan layar mengenai kes love scam. Ramai yang telah ditipu di sana,” katanya.
Lebih mengejutkan, mangsa love scam mendedahkan individu menyamar sebagai dirinya itu turut berjanji serta mengajak mereka berkahwin. Bagaimanapun, Hafiz berkata dia terpaksa menjelaskan bahawa individu itu bukan dirinya yang sebenar.
“Mereka menggunakan wajah saya untuk menipu wang orang lain. Ada yang sampai berjanji untuk berkahwin, memaksa saya untuk menjelaskan bahawa semua itu hanyalah penipuan semata-mata,” katanya.
Dalam pada itu, Hafiz berkata mangsa mula mencari siapakah Hafiz Hamidun selepas ditipu oleh scammer. Kata Hafiz ada diantara mangsa memberikan wang kepada scammer sehingga puluhan ribu ringgit.
“Mereka mula mengenali saya dan ada yang jatuh cinta. Mereka cuba menghantar mesej (DM), tetapi saya tidak mahu bersikap terlalu kasar kerana mereka hanyalah mangsa love scam.
“Mangsa telah memberikan wang kepada scammer, dan jumlahnya dalam puluhan ribu ringgit. Selepas ditipu, watak tersebut hilang, dan mangsa mula mencari siapa saya. Bila mereka tahu saya penyanyi dari Malaysia, mereka terus menjadi peminat,” katanya.
SUMBER: Astro Gempak