fbpx

Upiak Isil Dedah Sebab Tidak Lagi Berhijab

Tindakan penyanyi Indonesia, Upiak Isil didakwa membuka tudung mendapat pelbagai reaksi di kalangan netizen apabila ada yang mengecam serta mempersoalkan keputusannya itu.

Memohon maaf diatas kekhilafannya itu, peserta Gegar Vaganza musim kelapan itu berkata dia ada sebab tersendiri apabila membuat keputusan ‘menyimpan tudung’. Malah, Upiak berkata dia tidak mahu merendahkan hijab apabila melakukan aksi yang tidak sepatutnya oleh wanita bertudung.

BACA: 2 Tahun Kahwin, Upiak Mengaku Masih Perawan?

“Pertama sekali, saya ingin mohon maaf kerana ini pendapat saya dan bukannya mengenai orang lain. Saya merasakan bila diri ini sebagai pelawak dan sekiranya saya buat ‘macam-macam aksi ini’ (terkinja-kinja) tapi bertudung, rasanya ia merendahkan hijab itu sendiri. Ini pandangan dan perasaan saya.

“Misal kata lagi saya berguling-guling di tepi jalan untuk buat kelakar dan penonton ketawa, rasanya saya sudah pun merendahkan tudung dipakai itu. Betul tak? Jadi, saya ‘simpan’ tudung.

“Malah bagi saya, bila mengenakan baju yang sebegini (pakaian melekap pada tubuh hingga menampakkan bentuk badan), sebaiknya biarlah ditutup sebetulnya (menutup aurat dengan sempurna),” katanya.

Memilih untuk tidak mengulas lebih lanjut mengenai isu itu yang dianggap agak sensitif. Upiak berharap orang ramai mendoakan yang terbaik.

“Ada yang mengkritik, tapi biarlah. Hanya Dia (Allah) yang boleh menilai hambaNya. Saya tidak akan jelaskan dengan lebih terperinci kerana ia sensitif.

“Malah saya yang salah kenapa berhijab dulu, tapi kini dibuka lagi. Kalau belum siap istiqamah diri, kenapa memakai tudung? Jadi itulah kalau netizen rasa marah, saya hanya senyap saja sebab memang benar kita yang buat salah,” katanya.