Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 dipersetujui oleh kerajaan untuk diberikan kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP.

Dan untuk pengetahuan anda, ini adalah buat pertama kalinya Pegawai Sambilan Harian menikmati bantuan tersebut. Manakala kepada pesara kerajaan pula, bantuan RM250 akan disalurkan.

Pejabat Perdana Menteri berkata, pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh yang penuh cabaran ini.

Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan Mei iaitu pada 6 Mei 2021.

Bantuan khas tersebut akan memanfaatkan lebih 2 juta penjawat awam dan juga pesara.

Pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal daripada tahun-tahun sebelumnya disebabkan keprihatinan Kerajaan dalam membantu mereka membuat persiapan awal menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Kerajaan juga berharap dengan pemberian Bantuan Khas ini dapat lah meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.