fbpx

Tyas Mirasih Ajak Keith Foo Tonton Filem Laga

Aktres seberang, Tyas Mirasih yang juga merupakan bekas kekasih kepada aktor kacak, Keith Foo telah mengajaknya untuk memberikan sokongan dan seterusnya menonton filem lakonan pertamanya di bumi Malaysia ini.

“Apa salahnya sekiranya dia mahu menonton filem lakonan pertama saya bersama produksi Malaysia yang berjudul Laga ini — tetapi anda janganlah beranggapan bahawa saya & dia akan menonton bersama kerana antara kami tidak lagi sebagai pasangan kekasih,” ujarnya.

Dia juga turut memberitahu bahawa tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya digandingkan bersama-sama dengan Keith Foo dalam sebuah filem atau drama tempatan suatu hari nanti.

BACA: Bintang Ariana Rose, Keith Foo Mesra Bersama Kekasih Baru

“Saya tidak langsung mempunyai masalah sekiranya digandingkan bersama-sama dengan Keith Foo dalam filem atau drama suatu hari nanti kerana semuanya sudah dewasa dan masing-masing mempunyai sikap yang profesional dalam diri,” katanya.

Tambahannya lagi walaupun sudah lama tidak menghubungi Keith Foo sejak daripada mereka putus cinta, tetapi Tyas tahu bahawa Keith Foo semakin dikenali dan berjaya di negara kelahirannya sendiri.

“Sudah lama saya tidak menghubungi Keith Foo, tetapi saya tahu yang dia benar-benar sukses di negaranya sendiri dan kini ramai peminat-peminatnya di luar sana yang memang meminati lakonannya,” katanya sambil tersenyum.

Sejak dari perpisahan itu, nampaknya Tyas masih tidak mempunyai teman istimewa seperti mana bekas kekasihnya, Keith Foo yang kini telah menemui cinta baru.

Katanya lagi selepas perpisahan cinta itu, dia mahu terus memberikan fokus terhadap karier lakonannya yang sentiasa menjadi yang pertama dalam hidupnya.

“Saya masih solo dan sehingga kini tiada pengganti. Bagi saya biarlah saya terus fokus dengan kerjaya saya ini. Tetapi tidak ada masalah sekiranya cowok-cowok dari Malaysia mahu mengenali saya,” ujarnya sambil berseloroh.

Buat peminat semua jangan ketinggalan untuk menyaksikan filem ‘Laga’ yang akan ditayangkan pada 23 Januari 2014 di seluruh pawagam tanah air. (rtky/hfz)