fbpx

Tunai Janji, Achey Selesaikan Hutang Kerja Arwah Abam

Sudah hampir enam bulan pemergiaan Allahyarham Abam Bocey, bagaimanapun ia masih memberi kesan besar dan mendalam buat pelawak dan penyanyi Achey. Menurutnya, ingatannya pada arwah masih kuat.

Tersentak seketika apabila ditanya mengenai perkembangan kumpulan Bocey, Achey berkata setiap kali dia dan Fad berjumpa, pasti akan mengimbau kembali kenangan bersama arwah. Kata Achey lagi, dia juga sering melawat kubur Arwah yang terletak di Gombak.

BACA: Hasil Simpanan 10 Tahun, Achey Berjaya Beli Rumah Tiga Tingkat

“Saya sering berulang alik ke Raub, Pahang, jadi saya selalunya singgah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu untuk melawat kubur arwah. Jujurnya, pemergian arwah meninggalkan kesedihan mendalam buat saya dan Fad.

“Setiap kali saya dan Fad berjumpa, kami akan sedekahkan al-Fatihah dahulu pada arwah, kemudian barulah kami berbincang mengenai perjalanan Bocey.

“Apabila bercerita, pasti mengimbau kenangan bersama arwah. Nama arwah sering di bibir kami. Jadi, tak banyak yang saya minta, terus berdoa untuk arwah,” katanya kepada BH Online.

Achey berkata dia dan Fad kini sedang berusaha untuk mewujudkan saluran YouTube dan Facebook untuk kumpulan Bocey. Ujarnya, setiap pendapatan yang diperoleh akan disalurkan untuk bahagian arwah dan keluarganya.

Dalam pada itu, Achey turut menunaikan janji untuk menyempurnakan kerja arwah yang tergendala secara sukarela dan percuma. Malah, kerja yang dilakukannya itu turut dibantu oleh isterinya, Anne.

“Ada dua ‘review’ menerusi laman Instagram yang dilakukan bagi pihak arwah. Ia membabitkan produk kurus yang kurang sesuai untuk saya, memandangkan saya sememangnya kurus. Jadi, saya lakukannya bersama isteri. Alhamdulillah, tontonan agak tinggi.

“Satu lagi membabit produk minuman dan saya dapat maklum balas yang baik hingga peniaga terpaksa menyuruh saya memadamkan entri kerana tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.

Achey berkata, dia juga tidak pernah lupa untuk membantu balu Abam, Siti Nurhidayah Mohd Ali yang kini menanggung cahaya mata, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang berusia setahun sebulan.

“Saya dan isteri akan berhubung dengan Nurhidayah, setiap minggu. Ada kala saya akan menyertai sesi live yang dilakukan untuk menjadikan perniagaannya mendapat perhatian.

“Sekarang, Nurhidayah berniaga cempedak goreng, durian dan buah-buahan. Saya akan bantu apa yang boleh dibantu dari segi promosi.

“Saya tidak hanya mengambil berat mengenai isteri dan anak, malah sering menghubungi keluarga arwah seperti ibu serta adiknya, Ali Puteh,” katanya