fbpx

Tonton Matt Damon Lawan Raksasa Di Tembok Besar China

Kali pertama menonton trailer penuh The Great Wall ini kami pun merasa hairan kenapalah Matt Damon membawa watak utama dalam filem sejarah fiksyen China ini sedangkan masih ramai pelakon dari China yang layak untuk menjadi hero.

Namun selepas mendengar penjelasan Matt Damon sendiri tentang kehadiran beliau dalam filem The Great Wall ini, kami menjadi lebuh teruja untuk menanti tayangan filem ini di pawagam berdekatan kami pada 29 Disember kelak.

Matt Damon menjelaskan ada 3 orang mat saleh sebenarnya dalam filem ini yang datang ke negara China untuk membawa pulang satu teknologi senjata yang mampu memberikan kelebihan kepada negara Barat. Namun dalam misi tersebut, mereka ditemukan dengan persiapan tentera China untuk melawan serangan raksasa yang hadir setiap 60 tahun.

Datang pada masa yang tepat, Matt Damon dan rakan rakan membuktikan mereka berguna kepada kerajaan China bertempur dengan serangan raksasa yang menjadi ketakutan segenap rakyat di negara tersebut.

Dalam masa yang sama, menerusi filem ini kita akan dapat belajar sejarah alternatif yang mana Tembok Besar China selama ini dibina untuk mengekang serangan raksasa dari membunuh rakyat China dan menjadi lauk mereka.

Kalau Matt Damon dan raksasa dalam filem ini tidak cukup kuat untuk buat anda teruja untuk ke panggung wayang, perlu diingat yang filem ini diarahkan oleh Zhang Yimou yang sebelum ini terlibat dalam Hero dan House Of Flying Daggers.

Filem The Great Wall yang turut dibintangi oleh Jing Tian, Pedro Pascal, Willem Dafoe, Andy Lau dan juga bekas ahli kumpulan k-pop popular EXO, Lu Han ini akan ke pawagam seluruh negara pada 29 Disember 2016. Jom!