fbpx

Tiga Kali Kahwin Gagal, Fiza Halim Tergamam Dilamar Lelaki VIP

Rumah tangga yang dibina sebanyak tiga kali pernah gagal, pelakon Fiza Halim akui bingung apabila ada lelaki duda bertatus VIP mahu melamarnya menjadi isteri.

Menurut Fiza, dia mengakui tergamam apabila dilamar duda berkenaan apatah lagi dia masih serik dan tidak terlintas lagi untuk berkahwin dalam masa terdekat

BACA: Fiza Halim Sah Bercerai Kali Ketiga

“Jujur saya masih berkira-kira dalam hal mencari pengganti. Saya kena berfikir panjang soal masa depan. Siapa yang tidak serik berkahwin dan berpisah. Tiga kali saya lalui perkara ini di mana tidak semua orang sanggup terima.

“Saya bimbang salah percaturan, takkan hendak melalui fasa sama. Berkahwin, ada anak dan kemudian jadi janda. Minta simpang perkara itu terjadi lagi.

“Kalau perkara sama berlaku, saya juga dikecam biarpun soal perceraian adalah di luar kawalan diri,” katanya kepada BH Online.

Bakal memasuki usia 40 tahun tidak lama lagi, Fiza berkata dia perlu serius dalam kehidupan termasuk soal cinta. Malah, rakan turut menasihatinya berkahwin dengan lelaki berusia dan memiliki kehidupan stabil.

“Ogos depan, umur saya menginjak 40 tahun. Bukan masa untuk saya main-main lagi termasuk dalam soal cinta. Saya bukan muda lagi.

“Dalam konteks ini, bukan soal materialistik atau mata duitan, tapi lebih realistik. Jadi, istilah pisau cukur itu tidak sesuai digunakan atau perlu dilihat dalam skop yang lebih jauh. Tidak semestinya cari lelaki berada sebab hendak kikis duit,” katanya.

Sementara itu, Fiza mendedahkan lelaki VIP dikenalinya itu berusia 50 tahun dan mempunyai perniagaan sendiri.

Terdahulu, rumah tangga Fiza bersama suami pertamanya Ahmed Farriq Zainul Abidin hanya bertahan selama empat tahun apabila bercerai pada November 2010.

Mereka dikurniakan dua anak iaitu Ferra Aryana, 13, dan Feeya Adyrra, 12. Kemudian Fiza berkahwin dengan Adam AF pada 2013, juga tidak kekal.

Fiza kemudian berkahwin kali ketiga dengan juruterbang berstatus duda dua anak, Aizat Al Jefri pada Disember 2016. Hasil perkahwinan, Fiza dan Aizat dikurniakan cahaya mata, Baby Aleena kini berusia tiga tahun.