fbpx

“Tidak Mudah Hidup Ini Tanpa Siti Sarah Di Sisi”

Pelawak Shuib Sepahtu berkata dia tidak mampu berkongsi masalah dengan orang lain apatah lagi selama ini isterinya, Allahyarham Siti Sarah menjadi pendengar setia di sisi.

Menurut Shuib, sejak pemergian Sarah dia menyimpan pelbagai perasaan serta mengakui sukar untuk meneruskan kehidupan sebagai bapa tunggal.

BACA: Terlalu Rindukan Siti Sarah, Shuib Jalani Pemeriksaan Mental Setiap Minggu

“Mungkin orang di luar boleh berkata apa sahaja. Tetapi ini adalah perasaan saya. Sebenarnya tidak mudah hidup ini tanpa kehadiran Sarah di sisi. Selama ini dia sentiasa ada dengan saya. Hampir semua perkara kami buat sama-sama.

“Kalau ada masalah peribadi, dalam bisnes sekali pun, kami sama-sama saling merujuk antara satu sama lain. Bila dia dah tiada, saya jadi kekok. Nak rujuk dengan siapa?

“Bukan dengan semua orang kita boleh kongsikan masalah kita. Banyak perkara yang kami kongsi bersama sebelum ini,”katanya.

Mengakui berdepan dengan kesukaran untuk menguruskan keluarga namun sentiasa mencuba memberikan yang terbaik buat keempat-empat anak-anaknya.

“Itulah yang saya lakukan, sampai sekarang. Bila ada masalah, saya tak kongsikannya dengan orang lain. Walaupun dengan ibu atau mentua.

“Saya akan luahkannya semasa menziarahi kubur arwah. Di selang waktu, saya akan bertemu dengan doktor peribadi yang merawat Sarah dulu untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

“Penting juga sebab apabila sering dirundung emosi, tubuh badan kita juga secara tak langsung akan terjejas,”katanya.

Terdahulu, Shuib berkata dia akan menziarahi pusara isterinya setiap Isnin dan Jumaat untuk berkongsikan semua perkara.  Ujarnya, dia masih lagi berehat dan tidak lagi bekerja sejak pemergian arwah.