fbpx

Meskipun sudah tiga bulan pemergian Allahyarham Siti Sarah, pelawak Shuib Sepahtu mengakui masih sukar untuk meneruskan kehidupan tanpa isteri tercinta di sisi.

Bagaimanapun, Shuib meluahkan rasa syukur melihat emosi anak-anaknya masih terkawal, namun berbeza dengan dirinya apatah lagi sebelum ini sentiasa bersama isterinya melakukan semua perkara bersama.

BACA: Netizen Sayu Lihat Shuib Bawa Selendang Siti Sarah Bercuti Di Langkawi

“Saya akui kesukaran yang saya hadapi sepanjang bergelar bapa tunggal ini adalah emosi. Saya rasa itu yang paling susah untuk saya. Saya tengok anak-anak saya, Alhamdulillah emosi mereka terkawal tapi saya berbeza sebab saya buat hampir semua benda dengan Sarah.

“Jadi bila dia tiada, saya tak rasa hilang separuh, sebaliknya hilang hampir semua. Maksudnya, dari segi kerjaya dan juga perniagaan sebab kami selalu kongsi banyak perkara.

“kalau ada masalah dalam bisnes atau peribadi, saya rujuk pada dia dan begitu juga dengan dia. Jadi bila dia tiada, saya tak tahu mahu rujuk pada siapa,” katanya.

Shuib berkata dia akan menziarahi kubur isterinya setiap Isnin dan Jumaat untuk berkongsi perasannya sehinggakan dia berjumpa dengan doktor setiap minggu untuk periksan kesihatan mentalnya.

“Sampai sekarang, bila saya ada masalah, saya tak cakap dengan orang, walaupun dengan mak atau mentua saya, saya hanya boleh pergi ke kubur dan berkongsi dengannya.

“Disebabkan itu, setiap minggu saya akan berjumpa doktor peribadi yang menjaga Sarah dulu, untuk memeriksa kesihatan saya.

“Lebih kurang pakar psikiatri, ia juga bagi memastikan kesihatan mental saya. Sebab kesihatan mental ini berkait rapat juga dengan emosi dan badan kita. Tapi saya bersyukur saya ada keluarga yang sangat baik, yang membantu menjaga anak-anak saya,” katanya.