fbpx

Tiara Ada Masalah Pembelajaran, Achey Galak Berniaga Untuk Asah Kemahiran

Pasti ramai tahu anak perempuan pelawak Achey iaitu Nur Tiara Zinnirah menceburi perniagaan makanan ringan dan mendapat sambutan luar biasa.

Bagaimanapun, ada segelintir netizen mempertikaikan tindakan pelawak itu seolah mempergunakan anaknya itu untuk menjana pendapatan.

BACA: Anak Achey Berjaya Jual 3,000 Pek Gula-Gula Dalam 2 Jam

Memetik mStar Online, Achey berkata anaknya berusia lima tahun itu sebenarnya kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran dan dia mahu mencungkil kelebihan serta kemahiran Tiara di usia muda.

“Saya beritahu awal-awal, Tiara seorang kanak-kanak yang agak perlahan dalam pembelajaran. Tetapi saya yakin dia boleh belajar.

“Cuma saya dan isteri perlu lebih berusaha untuk mengajarnya di rumah. Saya juga mahu mengikut apa yang dia minat dan saya percaya minat (dalam perniagaan) ada cenderung kepada masa depannya nanti,” katanya.

Dalam pada itu, selain kepentingan pelajaran, Achey berkata ilmu kemahiran juga penting untuk diterapkan kepada anak. Ujarnya, dia tidak mahu memberi tekanan kepada Tiara disebabkan masalah dihadapinya itu.

“Bukan ilmu tak penting tapi saya tak boleh menekan Tiara. Apa saya boleh katakan, kemahiran juga penting dalam mencari pendapatan.

“Saya percaya kalau anak-anak terapkan pengalaman yang dia ada dan masukkan sekali dengan pembelajaran yang diajar, saya rasa hasilnya akan jadi lebih baik,” katanya.

Sebelum ini, Achey meluahkan rasa syukur anaknya berjaya menjual sebanyak 3,000 pek gula-gula dalam masa dua jam serta menerima ‘gift’ daripada pengikut di TikTok.